Tiga kru kapal nelayan dikhuatiri diculik sekumpulan bersenjata Filipina berdekatan sebuah pusat peranginan Pulau Pom-Pom dekat Semporna, Sabah awal pagi Ahad.

Komander Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESScom), Datuk Wan Abdul Bari Abdul Khalid mengesahkan penculikan ini selepas pihaknya menerima satu laporan daripada pemilik bot tersebut kira-kira jam 1.59 pagi tadi.

"Saya hanya boleh mengesahkan telah berlaku satu kes culik di mana sebuah bot telah ditahan dan tiga orang telah diculik.

"Maklumat lanjut akan dikongsi oleh Pesuruhjaya Polis Sabah dalam satu sidang akhbar," katanya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata penculikan tersebut dipercayai didalangi kumpulan 'kidnap for ransom' (KFR) atau 'penculikan untuk tebusan'.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata terdapat beberapa kekangan dari segi peralatan, namun beliau yakin ia akan diperoleh dalam masa terdekat.

Menurutnya, ketiga-tiga kru berkenaan bukan warganegara Malaysia tetapi merupakan pemastautin tetap.

"Walaupun begitu, pihak berkuasa akan terus memberi kerjasama dengan pihak berkuasa Filipina dan Menteri Pertahanan (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) telah berbincang dengan rakan sejawataanya, saya sendiri dah berbincang dengan rakan sejawatan saya serta Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) telah adakan perbincangan dengan rakan sejawatnya," kata beliau.

Esscom hari ini mengesahkan berlaku satu kes culik di perairan Pulau Pom Pom, Semporna malam tadi.

Komander Esscom Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi Bernama berkata laporan berhubung kes berkenaan diterima pada 1.59 pagi tadi.

Beliau berkata kumpulan itu dipercayai bergerak di kawasan Filipina khususnya di kepulauan berhampiran dengan Malaysia. - BERNAMA