Tutup

Tiga pegawai KPKT di PPR bantu tingkat kesedaran kebersihan - Zuraida

Tiga pegawai KPKT di PPR bantu tingkat kesedaran kebersihan - Zuraida
Menurut Zuraida, pegawai berkenaan akan ditempatkan secara sepenuh masa bagi memudahkan urusan penduduk mendapatkan maklumat mengenai program Eko Komuniti #trashtocash. - Gambar fail/Astro AWANI
BUTTERWORTH: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menempatkan tiga  kakitangan KPKT di setiap Sekretariat Muafakat Komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR)  dalam usaha meningkatkan kesedaran komuniti terhadap aspek kebersihan di kawasan perumahan PPR diseluruh negara.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata pegawai berkenaan akan membantu serta memantau sekretariat berkenaan dalam melatih penduduk PPR tentang pentingnya program pengasingan sampah dan menjana pendapatan sampingan menerusi sampah yang dikitar semula.
Katanya, pegawai berkenaan akan ditempatkan secara sepenuh masa bagi memudahkan urusan penduduk mendapatkan maklumat mengenai program Eko Komuniti #trashtocash iaitu Inisiatif KPKT dibawah pelaksanaan Dasar Komuniti Negara.

Setakat ini, 4 PPR terlibat dengan sekreteriat berkenaan membabitkan negeri Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang.
Manakala enam lagi membabitkan negeri Johor, Terengganu , Perak dan Sabah akan dilaksanakan antara 16 November hingga 8 Disember depan.

"Tiga pegawai KPKT secara sepenuh masa untuk kendalikan sekretariat muafakat yg akan lancarkan sebentar lagi, di bawah dasar Komuniti Negara kita membentuk sekretariat  yang ada pejabat di sini yang akan dipimpin pegawai KPKT untuk budayakan mereka, harta benda mereka dan tingkatkan aktiviti, ekonomi dan gotong royong," katanya di sini hari ini.

Zuraida berkata pihaknya menyasarkan sebanyak 10 buah PPR akan menubuhkan sekretariat itu pada tahun ini manakala 20 buah lagi PPR pada tahun depan.

Mengulas mengenai program Eko Komuniti, beliau berkata program itu diperkenalkan bagi menggalakkan penglibatan komuniti setempat terutamanya penduduk yang menetap di PPR dalam menjaga kebersihan awam dan mengutamakan kesihatan.

Menurutnya, program itu juga membantu meningkatkan kesedaran komuniti mengenai kepentingan pengasingan sampah di samping membantu menjana pendapatan sampingan dengan sampah yang dikitar semula.

PPR Taman Bagan Jaya merupakan siri pertama pelancaran program Eko Komuniti dan lima lagi lokasi telah dikenal pasti untuk program itu antaranya PPR Desa Mutiara, Tebrau di Johor; PPR Padang Hiliran, Kuala Terengganu, Laman Budaya, Kuala Kangsar di Perak, Taman Kosas, Ampang Selangor dan PPR Taman Sri Keramat, Putatan Sabah.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pelancaran program Eco Komuniti #Trashtocash Sekreteriat Muafakat di PPR Bagan Jaya, Butterworth pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo.


Tag: rakyat, PPR, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, KPKT, Sekretariat Muafakat Komuniti Program Perumahan Rakyat, Zuraida Kamaruddin, Eko Komuniti, Dasar Komuniti Negara



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.