Tiga pemancing yang dilaporkan hilang selepas tersesat di kawasan hutan di Gebeng di sini, ditemui dalam keadaan selamat, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Rosdan Zakaria berkata, ketiga-tiga mangsa yang berusia 24 hingga 25 tahun itu ditemui kira-kira empat kilometer dari jalan utama berhampiran bulatan Gebeng, pada jam 8.07 malam.

"Kita lihat semua mangsa selamat, namun keletihan dan difahamkan sebenarnya dalam perjalanan pulang, namun gagal mencari jalan keluar.

"Akibat itu ketiga-tiga mangsa terkandas di kawasan hutan berkenaan sebelum anggota bomba menjalankan kerja mencari dan menyelamat mereka," katanya ketika dihubungi hari ini.

Rosdan berkata, kesemua mangsa berjaya dibawa keluar sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Saya difahamkan tiga lelaki itu dipercayai masuk ke kawasan hutan berkenaan pagi semalam untuk memancing dan sepatutnya keluar lewat petang.

"Kehilangan pemancing itu disedari rakan selepas mereka gagal keluar hingga malam sebelum kejadian dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk bantuan mencari dan menyelamat," katanya lagi.

Dalam pada itu, Rosdan memaklumkan, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pukul 7 malam dan tujuh anggota bergegas ke lokasi bagi tujuan menyelamat.

Menurut beliau, semasa proses pencarian, mangsa masih boleh dihubungi melalui telefon dan lokasi kedudukan mereka dikesan menerusi aplikasi Google Map.

"Tetapi pencarian berdasarkan lokasi yang diberikan tersasar ke arah lain. Namun begitu, kedudukan mangsa berjaya dikesan selepas anggota ternampak cahaya lampu sebelum menuju ke arah itu dan akhirnya kesemua mereka berjaya ditemui," katanya.