Tiga penerima anugerah 'Tun' tahun ini

Tiga penerima anugerah 'Tun' tahun ini
Md Raus (kiri) serta dua bekas menteri kabinet Samy Vellu (tengah) dan Michael Chen Wing Sum dianugerahi darjah kebesaran Seri Setia Mahkota (S.S.M.), anugerah tertinggi negara yang membawa gelaran Tun.
PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif serta dua bekas menteri kabinet Datuk Seri S. Samy Vellu dan Tan Sri Michael Chen Wing Sum dianugerahi darjah kebesaran Seri Setia Mahkota (S.S.M.), anugerah tertinggi negara yang membawa gelaran Tun.

Ketiga-tiga tokoh itu mendahului senarai penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 2017 bersempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, hari ini.

Md Raus, 66, dilantik sebagai Ketua Hakim Negara selama tiga tahun berkuat kuasa pada 4 Ogos lepas, menggantikan Tun Arifin Zakaria yang bersara.

Sebelum itu, beliau berkhidmat sebagai Presiden Mahkamah Rayuan sehingga 3 Ogos 2017.
Samy Vellu, 81, pula merupakan Duta Khas ke India dan Asia Selatan dalam bidang infrastruktur berkuat kuasa pada 1 Jan 2011.

Samy Vellu adalah antara pemimpin paling lama memegang jawatan dalam kabinet bermula sebagai Menteri Kerja Raya dan Utiliti pada tahun 1979 sehingga tahun 2008.

Beliau mula menyertai arena politik pada tahun 1959 sebagai anggota MIC cawangan Batu Caves sebelum dilantik sebagai presiden parti itu pada pada tahun 1981.

Samy Vellu meletakkan jawatannya sebagai Presiden MIC pada 2010 selepas memegang jawatan itu selama 31 tahun.

Sementara itu, Michael Chen, 85, merupakan bekas Timbalan Presiden MCA dan pernah dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara pada tahun 2000 hingga 2003.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Menteri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru.

Chen bergiat aktif dalam politik tanah air sejak tahun 1964 bersama MIC dan berkhidmat sebagai anggota parlimen sejak tahun 1964 hingga 1986.

Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai anggota Dewan Negara bermula tahun 1997 hingga 2003.

-- BERNAMA