Program AWANIJr yang memberi peluang kepada para pelajar peringkat sekolah rendah dan menengah menerbitkan karya di platform penyiaran, ternyata memberi kesan yang amat positif dalam membentuk personaliti serta keterampilan pelajar dalam bidang komunikasi.

Ia terbukti dengan menyaksikan tiga daripada empat pelajar Terengganu yang bakal mewakili negeri itu ke Anugerah Nilam Peringkat Kebangsaan 2018, merupakan pengacara AWANIJr yang sangat aktif menghantar video ke AWANIJr.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Terengganu Alias Talib, penglibatan mereka dalam AWANIJr nyata mengubah landskap penampilan diri sehingga menyaksikan pelajar-pelajar di negeri Terengganu kini lebih berani ke hadapan dan lebih yakin melontarkan idea dan pendapat.

"Saya sangat berterima kasih kepada pihak Astro AWANI yang telah menyediakan platform yang betul bagi membentuk pelajar-pelajar ini menerusi AWANIJr.

"Nyata ia memberi kesan yang positif kepada kepada hasrat kita untuk melihat kemenjadian pelajar dalam pelbagai bidang. Dan kita lihat kesannya kini yang sangat pantas dan positif sehingga mampu melahirkan pelajar yang pintar dari pelbagai sudut. "



Buat julung-julung kalinya pihak AWANIJr diberi penghormatan untuk merasmikan dan menyampaikan hadiah kepada pemenang pada Majlis Anugerah Nilam Peringkat Negeri Terengganu 2018 yang berlangsung pada Ahad.

Tiga pelajar tersebut ialah Adlina Aqilah Jamaluddin bagi kategori Bahasa Melayu Sekolah Rendah, Nur Adibah Abdul Rahim bagi kategori Bahasa Melayu Sekolah Menengah dan Amirah Husna Abdul Kadir bagi kategori Bahasa Inggeris Sekolah Menegah.

Anugerah Nilam merupakan pengiktirafan kepada para pelajar yang dianggap paling cemerlang dalam pelbagai bidang baik dari segi akademik dan juga personaliti.