Polis kini sedang mengesan tiga saksi termasuk dua warga India untuk membantu perbicaraan kes bunuh seorang warga Sri Lanka di Mahkamah Selayang, di sini pada 28 Ogos nanti.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, ketiga-tiga individu itu diperlukan untuk hadir perbicaraan membabitkan kes pembunuhan yang berlaku di Jalan Gombak-Genting Sempah pada 2017.

Menurut beliau, pihaknya memohon kerjasama orang ramai untuk mengesan Sha’ari Ariffin Senin, 52, yang beralamat di lot 1170, Batu 9, Jalan Gombak Utara, Kuala Lumpur.

Individu lain yang sedang dikesan adalah A. Sonaiya, 49, dan K. Sundar, 26, dan kedua-dua mereka beralamat di lot 46225 B, Setor Jalan Mangga, Kampung Sungai Tua, Batu Caves.

“Pihak polis menghadapi sedikit kesulitan untuk menyempurnakan sapina terhadap tiga saksi utama iaitu dua lelaki warga negara India dan satu lelaki Melayu warga tempatan kerana tidak dapat di kesan atau tidak dapat dihubungi.

“Sehubungan itu pihak polis minta pihak media minta buat hebahan melalui media dan juga orang ramai boleh lah menghubungi pegawai penyiasat IPD Gombak,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak siang tadi.

Samsor berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden I. Agilan di talian 03-61262222 atau 019-5240801.