Dua rakan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas didapati bersalah membunuh seorang wanita dengan menikamnya sebanyak 78 kali pada Disember 2011.

Hakim Datuk Wan Afrah Wan Ibrahim menjatuhi hukuman itu terhadap Muhammad Faizul Mohd Ali, 24, dan Mohd Zulhaziq Razali, 27, selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap pendakwaan di akhir kes pembelaan.

"Apabila dipertimbang secara keseluruhan, pembelaan (orang kena tuduh) OKT1 (Muhammad Faizul) tidak boleh dipakai dan didapati bersalah serta disabit kesalahan.

"Pembelaan OKT2 (Mohd Zulhaziq) juga gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan dan dia dibuktikan mengambil peranan dalam pembunuhan itu. Maka, OKT2 didapati bersalah dan disabitkan dengan kesalahan," katanya.

Selepas hukuman dijatuhkan, Muhammad Faizul dan Mohd Zulhaziq hanya tersenyum hambar dan anggota keluarga mereka yang hadir di mahkamah kelihatan muram dengan keputusan terbabit.

Kedua-dua lelaki itu dituduh bersama-sama membunuh Rozana Mohd Yusak, 35, yang juga teman wanita Muhammad Faizul, di rumah mangsa di Jalan Puncak Desa 2, Kepong, dekat sini antara pukul 12 tengah malam hingga 1.15 pagi, pada 21 Disember 2011.

Muhammad Faizul dan Mohd Zulhaziq dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Hujah pendakwaan menyatakan kedua-dua lelaki itu telah pergi ke rumah Rozana dan berlaku pergelutan sehingga mengakibatkan mangsa mati akibat ditikam 78 kali selain mengalami beberapa kesan luka dan lebam disebabkan objek tajam.

Pihak pendakwaan turut mengemukakan keterangan saksi bahawa Mohd Zulhaziq telah membuat persiapan awal pembunuhan dengan membawa sebilah pisau sebelum pergi ke rumah mangsa.

Sepanjang perbicaraan diadakan, sebanyak 13 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan telah dipanggil memberi keterangan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Balkish Abdul Yazaid manakala Muhammad Faizul diwakili peguam Ariff Azami Hussein dan Mohd Zulhaziq pula diwakili Saladin Mohd Yasin.