Sedar akan kenaikan harga tiket melampau bagi penerbangan domestik Sarawak ke Semenanjung dan sebaliknya, kerajaan negeri itu memberi jaminan bahawa ia akan cuba diatasi dalam masa terdekat dengan pemberian kapasiti 100 peratus dan penambahan penerbangan.

Kenaikan harga tiket bagi syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan syarikat tambang murah Air Asia ketika ini jelas atas sebab tertentu.

Namun menurut Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin, kerajaan negeri itu memandang serius perkara ini dan mahu menghentikan kegusaran yang melanda rakyatnya.

“Dengan peningkatan kedua-dua kapasiti penerbangan hingga 100 peratus dan frekuensinya, kami berharap syarikat penerbangan dapat mengatasi keadaan semasa dan dapat menurunkan tambang penerbangan,” katanya.

Jelas beliau, keputusan ini juga merangkumi soal keselamatan dan tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya.

Lebih-lebih lagi ujarnya, sekarang isu pandemik COVID-19 masih hangat.

“Keputusan untuk meluluskan kapasiti penerbangan 100 peratus antara Malaysia Barat, Sarawak, Semenanjung Malaysia dibuat setelah mempertimbangkan pelbagai faktor iaitu keadaan COVID-19 di Sarawak semakin baik dan berdasarkan keperluan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi domestik terutama sektor pelancongan,” beritahu beliau.

Tambahnya, penyelesaian seperti ini juga dapat memudahkan pergerakan barang, tugasan rasmi serta merangsang sektor perniagaan.


Dalam pada itu, Menteri Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah melihat kenaikan harga tiket penerbangan adalah disebabkan operator syarikat penerbangan terpaksa mengehadkan jumlah penumpang.

Jelasnya, ini juga disebabkan pematuhan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Walaupun begitu, Abdul Karim yakin isu ini akan selesai dengan penurunan harga tiket disebabkan peralihan negara kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di mana perjalanan rentas negeri dan sempadan dibenarkan.

“Saya difahamkan kerajaan pusat juga prihatin dengan perkara ini dan akan meneliti jadual penerbangan serta tiket,” katanya ketika ditanya dalam mesyuarat Jawatankuasa Perunding di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kuching pada Rabu.