Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang Timbalan Pengetua Maktab Rendah Sains Mara Kuala Kubu Bharu kerana disyaki telah menyalahgunakan kuasa dalam pemberian kerja-kerja pembekalan barangan keperluan pelajar kepada pihak berkepentingan.

Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan tangkapan tersebut dan turut ditahan adalah anak kepada suspek yang berusia 24 tahun dan seorang pemilik syarikat berusia 40 tahun.

Beliau berkata, pasukan penyiasat mula menjalankan siasatan kes ini selepas mendapat maklumat daripada orang ramai berhubung penyalahgunaan kuasa oleh suspek.

“Pasukan penyiasat kini dalam proses merakam percakapan saksi-saksi bagi mendapatkan maklumat-maklumat yang dipercayai dapat membantu siasatan kes ini,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Difahamkan, suspek yang berusia 48 tahun dipercayai telah menyalahgunakan kuasanya dengan memberikan kerja-kerja pembekalan barangan keperluan pelajar yang berjumlah lebih kurang RM79 ribu secara rundingan terus.

Suspek dikesan melakukan perbuatan itu tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan antara tahun 2016 dan 2017.