Tindakan diambil selepas laporan JKKP Johor diterima - Mahfuz

Tindakan diambil selepas laporan JKKP Johor diterima - Mahfuz
MAHFUZ: Apa-apa tindakan yang perlu diambil akan diputuskan berdasarkan 'recommendation' daripada JKKP Johor. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Laporan awal Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) berhubung kebakaran dan letupan di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) dekat Kota Tinggi Johor, dijangka diterima Kementerian Sumber Manusia petang ini.

Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Mahfuz Omar berkata pihak JKKP Johor telah mengarahkan pasukannya memulakan proses siasatan dan pemeriksaan awal kejadian yang dilapor pada pukul 1.20 pagi itu.

"Setakat ini belum dapat maklum balas, mungkin petang ini dapat laporan awal... apa-apa tindakan yang perlu diambil akan diputuskan berdasarkan 'recommendation' daripada JKKP Johor," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penutupan Operasi Cegah Jatuh dan Cegah Runtuh di Tapak Pembinaan, di sini hari ini.

BACA: JKKP Johor arah pegawai siasat kejadian letupan, kebakaran di Pengerang
Dalam kejadian kebakaran dan letupan di tapak projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang itu, dua lelaki tempatan yang bekerja sebagai pengawal keselamatan cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.

Kebakaran berjaya dipadamkan kira-kira setengah jam selepas kejadian.

BACA: Petronas sahkan letupan, kebakaran di Kompleks Bersepadu Pengerang

Sementara itu, Mahfuz berkata sebanyak 479 tapak pembinaan di seluruh negara telah diperiksa dalam operasi sebulan yang bermula 1 Mac lepas dengan tumpuan kepada aktiviti kerja di tempat tinggi dan kerja-kerja konkrit di kawasan pembinaan.

"JKKP juga menggunakan dron bagi meninjau keadaan dan pematuhan aktiviti pembinaan di tempat tinggi seperti tepian terbuka dan operasi kren menara,'" katanya.

BACA: Menggeletar kaki dengar letupan, bumbung rumah pun bergegar! - Netizen

Mahfuz berkata hasil daripada operasi itu, JKKP mengeluarkan 719 surat arahan terhadap pelbagai kesalahan; 2,160 notis pembaikan dan larangan; menyita 1,131 tapak pembinaan; mengeluarkan 864 kompaun; dan 128 tapak pembinaan pula berhadapan tindakan pendakwaan mahkamah.

Setakat 2019, terdapat 18,000 tapak pembinaan yang berdaftar dengan JKKP.

-- BERNAMA