Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan individu terlibat dengan kegiatan rasuah dan salah guna kuasa dilihat dapat meningkatkan keyakinan pelabur di negara ini.

Ketua Persuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad berkata dakwaan bahawa tindakan yang dilaksanakan pihaknya dalam mengambil tindakan terhadap pesalah rasuah menakutkan pelabur adalah tidak benar.

"Tidak ada isu menakut-nakutkan. Sepatutnya ia memberi lebih keyakinan kepada pelabur untuk membuat pelaburan di Malaysia," katanya ketika ditanya mengenai langkah SPRM sejak akhir-akhir ini, yang semakin kerap mengambil tindakan terhadap pesalah rasuah dan salah guna kuasa sehingga dikatakan mengundang ketakutan kepada pihak untuk melabur di negara ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas turun padang melakukan tinjauan mesra kempen Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH) dan 3J iaitu ''Jangan Hulur, Jangan Kawtim dan Jangan Settle'' di sini, hari ini.

Dzulkifli percaya tindakan proakif yang dilakukan SPRM dalam mencegah dan memerangi rasuah dapat menambah baik kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia.

Sementara itu, Dzulkifli menafikan dakwaan bahawa SPRM tidak adil dan pilih kasih kerana tidak mengambil tindakan terhadap ahli politik.

"Itu bukan pilih kasih...cuma ambil masa sedikit. Jika kita tidak ambil tindakan terus, itu pilih kasih. Saya rasa sebagai KP (Ketua Persuruhjaya), saya lebih mengetahui bila masa yang sesuai untuk bertindak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mempersoal keengganan SPRM mengambil tindakan terhadap ahli politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-14, kerana ia mungkin digunakan sebagai bahan kempen.

Dalam perkembangan lain, Dzulkifli yang ditanya sama ada akan ada lagi tangkapan melibatkan anggota polis di negeri lain selain Melaka, beliau enggan mengulas lanjut.

"Kita tunggu dan lihat," katanya ringkas.

Sehingga hari ini, 13 individu termasuk anggota dan pegawai polis di Melaka ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah berkaitan kegiatan mengutip wang daripada pengusaha pusat judi haram dan pusat urut di beberapa lokasi di Melaka.

-- BERNAMA