Kementerian Dalam Negeri memberi amaran untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana anggota polis yang terbukti terlibat dalam melindungi pihak yang menjalani kegiatan haram, yang jelas melanggar undang-undang.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menegaskan, mereka akan dirujuk ke jawatankuasa disiplin dan diambil tindakan yang sewajarnya.

"Tindakan tegas bukan sahaja akan diambil kepada mereka yang melakukan jenayah itu sebaliknya kepada anggota polis yang ada di situ.

"Kalau betul (siasatan mendapati) mereka terbabit (melindungi kegiatan haram) maka kita akan bawa ke jawatankuasa disiplin itu tindakan undang-undang," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan kira-kira 20 minit dengan pemilik perniagaan Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid di bangunan Parlimen di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Hamzah turut menyeru pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya bersama-sama polis bagi memastikan tidak ada sebarang aktiviti pelanggaran undang-undang seperti perjudian dan perniagaan haram berjalan di kawasan tersebut.

Bagaimanapun, beliau menasihati orang ramaiu supaya melaporkan kegiatan seumpama itu kepada pihak penguat kuasa atau Kementerian Dalam Negeri secara terus dan bukan menyebarkan di laman media kerana tindakan itu boleh mengundang bahaya.

Sebelum ini, satu video yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia yang dikongsi akaun Asri yang dikenali sebagai Asri Janggut mengenai tindakan pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh menjadi tular di media sosial.

Susulan laporan itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Shafa’aton Abu Bakar bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan polis telah membuka kertas siasatan serta akan memanggil pengguna laman sosial berkenaan untuk memberikan keterangan.