SEJAK Isnin, seramai 1,200 pekerja asing dari kalangan pendatang asing tanpa izin (PATI) sudah menyerah diri mendaftar dengan Jabatan Imigresen Malaysia di Pulau Pinang untuk pulang ke negara asal.

Mereka mengambil kesempatan untuk pulang tanpa sebarang pendakwaan atas kesalahan datang dan bekerja secara haram di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Peluang untuk pulang tanpa pendakwaan ini bermula sejak Ogos lalu di bawah program B4G (Back for Good atau Pulang Kekal ke Negara Asal) yang diperkenal kerajaan untuk membanteras kewujudan pekerja asing dari komuniti PATI.

Jabatan Imigresen menjangka pejabat mereka akan dibanjiri dengan pekerja asing yang ingin pulang di bawah program B4G ini sepanjang Khamis dan Jumaat dan seterusnya Isnin dan Selasa minggu hadapan.

Menurut Jabatan Imigresen, tarikh akhir 31 Disember tidak akan diubah dan mereka yang masih tidak mengambil peluang ini untuk pulang akan dikenakan tindakan.

Setiap pekerja PATI hanya perlu mendapatkan dokumen pengesahan pengenalan dari kedutaan negara masing-masing dan membayar kompaun RM700 untuk diberi pas imigresen khas untuk pulang.

Setakat ini, seramai 9,678 pekerja PATI sudah mendaftar untuk mendapatkan pas pulang sejak program B4G bermula pada Ogos.

Seramai 7,268 pekerja lelaki dan 2,410 pekerja wanita dari 11 negara telah mendaftar diri – paling ramai dari Indonesia. Dari bayaran RM700 setiap permohonan, Jabatan Imigresen sudah meraih lebih dari RM7 juta sebagai hasil kutipan.

Lanskap penggajian pekerja warga asing akan berubah bermula 1 Jan tahun hadapan. Ini melibatkan mekanisme levi pelbagai peringkat untuk pekerja asing meliputi semua sektor akan dilaksana.

Kalangan majikan, pekebun sayur di Cameron Highlands bakal terkesan dengan kepulangan tenaga pekerja asing ini.

Terdapat lebih 1,500 tuan punya kebun tanaman sayur di Cameron Highlands dan kebanyakkan tuan punya kebun menggajikan tenaga pekerja asing.

Statistik menunjukkan kalangan 6,000 ahli persatuan pekebun-pekebun sayur di Malaysia, lebih separuh daripada mereka bergantung kepada tenaga kerja asing. Ini disebabkan warga tempatan tidak sanggup bekerja di ladang.