Kementerian Pengangkutan akan meneliti dan mengkaji cadangan untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 sedia ada.

Menterinya Anthony Loke berkata, langkah itu selaras cadangan meningkatkan hukuman terhadap pesalah jalan raya sehingga menyebabkan kematian, terutamanya yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

Cadangan itu bagaimanapun memerlukan pandangan dan persetujuan pelbagai agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS).

Pada masa sama, katanya, pandangan semua pihak termasuk pihak industri pengangkutan perlu diperoleh sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Pada ketika ini, Seksyen 41 Akta 333 telah memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang telah didapati bersalah menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau merbahaya hendaklah dihukum penjara untuk tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan dikenakan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM20,000.

"Jika sabit kesalahan, jika pemegang lesen memandu percubaan, maka mahkamah akan batalkan lesen memandu percubaan itu,” kata Loke menjawab soalan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) di Dewan Rakyat hari ini.

Tambahnya, mereka yang disabitkan di bawah Seksyen 41 juga akan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang tiga tahun dan lima tahun bagi Seksyen 44.

Di bawah peruntukan Seksyen 44, mana-mana orang yang menyebabkan kematian atau kecederaan akibat berada di bawah pengaruh alkohol, apabila disabitkan, hendaklah dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun, dan denda tidak kurang RM8,000 dan tidak lebih RM20,000.

Selain itu, lesen memandu pesalah dan yang sedang dalam proses pertuduhan juga, akan digantung berkuatkuasa dari tarikh pertuduhan dibacakan pertama kali.