Meningkatkan pertumbuhan ekonomi, menggalakkan penggunaan teknologi dalam industri pembuatan dan perkhidmatan serta merapatkan jurang pembangunan adalah antara cabaran yang perlu ditangani dalam Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata penggunaan teknologi masih rendah dalam industri pembuatan dan perkhidmatan.

"Walaupun sektor itu menyumbang hampir 79 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), namun tahap penggunaan teknologi masih rendah iaitu antara 20 peratus hingga 37 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pelan Tindakan Perniagaan Industri 4.0 Pelan Teknologi 2020 pengeluar sarang burung, MyNest Group Malaysia pada Selasa.

Turut hadir Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif MyNest Group Malaysia Datuk Chua Huai Gen.

Mohd Redzuan berkata turut menjadi perhatian adalah jurang pendapatan isi rumah di bandar dan luar bandar yang semakin melebar hampir enam kali ganda dalam tempoh 27 tahun.

Katanya cabaran ekonomi adalah bagi memastikan tiada kumpulan yang ketinggalan untuk berkongsi kemakmuran.

Justeru, Mohd Redzuan berkata WKB 2030 adalah penting untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif kepada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan.

Beliau berkata pelaksanaan WKB 2030 meliputi semua rakyat, namun selaras dengan kesaksamaan beberapa kumpulan yang diberi keutamaan supaya kedudukan sosio-ekonomi mereka ditingkatkan agar tidak ketinggalan dalam usaha kerajaan untuk mencapai wawasan itu.

Mengenai pelan tindakan itu, Mohd Redzuan berkata ia menjadikan MyNest sebagai pengusaha sarang burung pertama di dunia yang menggunakan teknologi 4.0.

Beliau berkata penggunaan teknologi bukan sahaja meningkatkan pengeluaran produk, malah merendahkan kos.

"Dengan bantuan teknologi, ia akan dapat meningkatkan daya saing serta mengurangkan kebergantungan syarikat kepada pekerja asing," katanya.

Beliau berkata kemajuan teknologi yang digunakan akan meningkatkan kemahiran pekerja tempatan pada tahap yang tinggi dari segi pengurusan, penyelenggaraan robot berteknologi tinggi dan sensor kecerdasan buatan (AI) dan automatik.

-- BERNAMA