Berikut adalah titah penuh Mesyuarat Dewan Negara Perak ke-169 yang disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizuddin Shah pada Jumaat.

1. Dengan penentuan dan izin ALLAH Subhanahu Wata’ala, mesyuarat Dewan Negara Perak kali ke-169 dapat dilangsungkan pada petang ini.

2. Beta menzahirkan penghargaan kepada ahli-ahli Dewan Negara yang telah memenuhi peranan dan menyempurnakan tanggungjawab sebaik mungkin, membantu mendaulatkan institusi kesultanan di negeri Perak Darul Ridzuan. Beta memberikan perkenan melantik semula ahli-ahli Dewan Negara Perak (Yang Bukan Rasmi) untuk tempoh dua tahun lagi.

3. Semua ahli Dewan Negara Perak, begitu juga semua Orang Besar Negeri, Orang Besar Jajahan, pegawai dan kakitangan di pejabat masing-masing, termasuk yang ditempatkan bertugas di Pejabat Sultan, di Pejabat Raja Muda dan di Pejabat Raja Di Hilir, begitu juga kakitangan yang ditempatkan bertugas di istana masing- masing, bertanggungjawab mempertahan, menjaga nama baik dan mendaulatkan institusi kesultanan. Gelaran yang disandang, dan penempatan menjalankan tugas di pejabat dan istana yang berkaitan, jangan sama sekali disalahgunakan untuk mendapat laba bagi memenuhi kepentingan peribadi. Gelaran yang disandang, dan penempatan di jawatan tertentu, tidak boleh sama sekali disalahgunakan untuk dijadikan platform memohon pelbagai manfaat daripada kerajaan, badan perniagaan juga individu, atau untuk diizinkan berperanan sebagai perantaraan secara memberikan surat sokongan dan arahan kepada kerajaan, atau membuka laluan untuk tujuan perniagaan mana-mana pihak. Kepala surat rasmi, cap rasmi dan surat rasmi, hendaklah sama sekali tidak digunakan untuk tujuan-tujuan sedemikian yang boleh memalitkan nama buruk dan mencemarkan institusi kesultanan.

4. Negara sedang berhadapan dengan dua senario yang mempunyai pengaruh langsung terhadap kehidupan rakyat.

Pertama: ancaman daripada wabak virus COVID-19, yang sedang merebak di seluruh dunia. Wabak virus ini mencetuskan suasana kecemasan. Akibatnya pelbagai aktiviti ekonomi terjejas di serata dunia.

Kedua: Keadaan politik semasa di dalam negara berikutan percaturan politik yang berlaku di peringkat Persekutuan turut melimpah ke peringkat negeri. Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan melantik Perdana Menteri Kelapan pada hari Ahad, 1 Mac yang lalu, diikuti dengan ahli-ahli Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri yang telah mengangkat sumpah jawatan pada hari Selasa, 10 Mac 2020.

Di peringkat negeri, Beta juga telah berkenan menerima peletakan jawatan Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu sebagai Menteri Besar Perak kedua belas diikuti sekali gus dengan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan.

Beta kemudiannya telah disembah maklum oleh kepimpinan peringkat negeri Perak yang mewakili Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Parti Islam se-Malaysia (PAS) untuk menubuhkan kerajaan baharu atas nama PERIKATAN NASIONAL.

Setiap ketua parti di peringkat negeri telah mempersembahkan nama daripada parti masing-masing untuk pertimbangan Beta dilantik sebagai Menteri Besar Perak ketiga belas.

Ketiga-tiga pemimpin mempersembahkan pengakuan bertulis akan memberikan sokongan padu kepada Ahli Dewan Negeri yang mendapat perkenan Beta. Berpandukan Perkara XVI, Fasal 2(a) Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, Beta hendaklah melantik ahli Dewan Negeri yang pada timbangan Beta boleh mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada ahli-ahli Dewan Negeri sebagai Menteri Besar Perak.

Setelah menimbang dan meneliti segala perkara Beta telah memperkenankan Yang Berhormat Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato' Azumu, ahli Dewan Negeri Chenderiang dilantik sebagai Menteri Besar Perak ketiga belas. Istiadat angkat sumpah jawatan telah pun disempurnakan sebentar tadi.

5. Kepada ALLAH Subhanahu Wata’ala kita pohonkan ihsan dan pertolongan semoga rakyat dapat dijauhkan daripada penyakit virus COVID-19. Kepada ALLAH kita pohonkan semoga para pemimpin yang telah diamanahkan dengan kuasa diberikan petunjuk dan panduan mengutamakan tanggungjawab untuk memakmurkan negeri dan menyejahterakan hidup rakyat.

6. Menurut jadual yang telah ditetapkan di dalam takwim, tarikh sambutan rasmi ulang tahun keputeraan Beta kali ke-64, jatuh pada hari Jumaat, 6 November 2020. Majlis Santapan Malam akan diadakan pada hari Sabtu, 7 November, sementara istiadat kawalan kehormatan, menjunjung duli dan penganugerahan darjah kebesaran negeri akan diadakan pada hari Ahad, 8 November 2020. Disebabkan sambutan Hari Deepavali jatuh pada hari Sabtu, 14 November 2020, tarikh penganugerahan darjah dan pingat kali kedua, serta istiadat menutup kerja, hendaklah diadakan pada hari Sabtu, 21 November 2020, dan larian Sultan Nazrin Shah, diadakan pada hari Ahad, 22 November 2020. Setiausaha Dewan Negara hendaklah memaklumkan tarikh istiadat dan acara tersebut secara rasmi kepada Setiausaha Kerajaan Negeri untuk segera dimaklumkan kepada semua ketua jabatan dan pelbagai pihak yang berkaitan.

7. Dalam tempoh Dewan Negara Perak mengadakan mesyuarat kali ke-168 dan kali ke-169, beberapa penyandang gelaran Orang Besar Negeri telah kembali ke Rahmatullah. Mesyuarat Dewan Negara Perak kali ke-169, dengan ini merakamkan ucap takziah kepada keluarga:

Yang Dihormati Toh Kelana Perkasa,
Tuan Haji Othman@ Othman Nagara bin Alang, yang kembali ke Rahmatullah pada hari Khamis, 13 Jun 2019.

Yang Dihormati Toh Sakna Bongsu,
Encik Osman Khairi bin Abdul Malik, yang kembali ke Rahmatullah pada hari Sabtu, 26 Oktober 2019.

Yang Dihormati Toh Tan Dewa Raja,
Encik Abdul Khalin bin Haji Abdul Hamid, yang telah kembali ke Rahmatullah pada hari Jumaat, 22 November 2019.

Yang Berbahagia Toh Puan kepada Orang Kaya-Kaya Laksamana Raja Mahkota,
Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datin Seri Wan Norniah binti Dato’ Wan Salaidin, yang telah kembali ke Rahmatullah pada hari Rabu, 12 Februari 2020.

8. Sesungguhnya segala yang bermula akan berakhir. Firman ALLAH Subhanahu Wata’ala dalam ayat 35 Surah Al-Anbiyaa bermaksud:

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.”

9. Dari Allah kita datang kepada ALLAH kita dikembalikan. Semoga ahli-ahli keluarga setiap seorang daripada Allahyarham dan Allahyarhamah, diberikan ketabahan menerima penentuan dan ujian ILAHI, kehilangan anggota keluarga yang dikasihi, dan semoga mereka terus mendapat limpah rahmat dan ihsan ILAHI.

10. Beta merakamkan penghargaan dan terima kasih atas khidmat bakti setiap seorang daripada mereka yang telah memenuhi peranan semasa menyandang gelaran dan melaksanakan tugas semasa diamanahkan tanggungjawab. Semoga segala khidmat bakti setiap mereka diterima sebagai amal yang turut dilimpahkan rahmat ketika roh mereka sedang berada di alam barzakh, sementara menantikan hari kebangkitan.

11. Sama-sama kita bacakan surah Al-Fatihah memohon rahmat daripada ALLAH SUBHANAHU WATA’ALA untuk disampaikan apa juga ganjaran daripada bacaan tersebut kepada roh setiap seorang Allahyarham dan Allahyarhamah; memohon kepada ILAHI semoga melimpahkan roh mereka dengan segala belas dan ihsan, ditempatkan bersama roh para solihin dan solehah. Al-Fatihah.

12. Semoga Mesyuarat Dewan Negara Perak kali ke-169, mendapat hidayah dan petunjuk daripada ALLAH Subhanahu Wata’ala, dan ahli-ahli Dewan Negara mencapai kata sepakat dan menemui jalan yang diredai. Amin Ya Rabul Ala min.