Tutup

Titik perpaduan beracuan ekonomi

Titik perpaduan beracuan ekonomi
Faktor ekonomi tidak boleh dipandang enteng dalam mengikat perpaduan antara kaum. - Gambar hiasan
KERAJAAN baharu sahaja selesai membentangkan Belanjawan Tahun 2020. Sekalipun ada kritikan pedas dan sindiran, itu adalah asam garam sebagai kerajaan. Yang penting, kerajaan telah melaksanakan tanggungjawab membentang perancangan kewangan negara untuk tahun berikutnya. Sama ada diluluskan atau ada pindaan, bergantung kepada kebijaksanaan 222 orang Ahli Dewan Rakyat berbahas. Merekalah yang berhak menyuarakan hasrat rakyat di dalam dewan yang mulia itu.

Dalam suasana perbahasan belanjawan ini, banyak juga saya membaca kiriman melalui WhatsApp berkaitan ekonomi dan perpaduan. Sebelum itu pun, banyak pelajar yang bertanyakan pandangan dan membincangkan perihal ekonomi di dalam kuliah bagi kursus Hubungan Etnik dan Pengajian Malaysia. Agak mengkagumkan kerana pandangan pelajar berkaitan hal ini tidak dilihat dalam takrifan sempit, tetapi lebih menjurus kepada everyday define (takrifan semasa).
Lazimnya, peristiwa 13 Mei 1969 menjadi sandaran perbincangan. Berbekalkan fakta daripada pelbagai buku dan artikel mereka membentangkan hujah masing-masing. Sekalipun mereka mengikuti bidang Perubatan dan Sains Kesihatan, pandangan mereka tetap melengkapkan ilmu kepada seorang pensyarah. Sesekali terasa seolah-olah mereka seperti Yang Berhormat yang sedang berbahas di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri. Inilah kelebihan yang ada kepada pelajar generasi kini yang perlu digilap sebagai pemimpin pada masa akan datang. Dengan erti kata lain mereka perlu disedarkan akan kelebihan dan kekuatan diri masing-masing, bukannya menjumudkan mereka dengan kursus teras semata-mata. Sekalipun bakal bergelar sebagai doktor, ahli farmasi, jururawat, atau ahli radiografi, realiti persekitaran adalah lebih penting dalam menentukan kerjaya tersebut.

Elak bermain sentimen kaum
Berbalik kepada isu ekonomi dan perpaduan, umumnya masyarakat menerima fakta bahawa konflik ekonomi merupakan salah satu satu faktor asas yang menimbulkan perasaan tidak puas hati dan saling mencurigai antara kaum. Dasar ‘pecah dan perintah’ yang diamalkan penjajah British akan dipersalahkan sebagai punca tercetusnya tragedi hitam ini. Semua ini bukan rahsia lagi dan diakui oleh sejarawan, ahli ekonomi dan politik seperti Archana Sharma melalui karyanya ‘British Policy Toward Malaysia 1957-1967’ (1993), Jomo. K.S. melalui karya ‘Pembangunan Ekonomi dan Kelas Sosial di Semenanjung Malaysia’ (1988), dan Ahmad Atory Hussian melalui bukunya ‘Kepimpinan Masa Depan: Berakhirkah Dilema Melayu’ (1987).

Penjajah menikmati sumber ekonomi seperti bijih timah dan getah, tetapi masyarakat di sini bukan sahaja ditinggalkan dalam situasi kemiskinan malah berbalah dan bercakaran sesama sendiri. Orang Melayu gagal menyaingi kelompok kapitalis asing lantaran kurang pengetahuan, pengalaman dan modal. Orang Melayu hanya memiliki sekitar 1.5 peratus saham hingga menimbulkan ketidakpuasan hati terhadap orang Cina yang memiliki 22.8 peratus manakala orang asing 52.1 peratus. Malahan, situasi ini turut mendapat kritikan pemimpin muda UMNO ketika itu seperti Dr Mahathir Mohamad dan Musa Hitam yang menganggap ia adalah kelemahan pihak kerajaan. Akhirnya, Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan sebagai ramuan menyatupadukan kaum di Malaysia. 

Semua ini adalah catatan fakta sejarah yang perlu dijadikan pengajaran dalam merangka mekanisme perpaduan kaum. Lebih baik mengingatkan generasi kini agar mengelak daripada mencetuskan perkara seperti ini. Pesankan juga kepada mereka betapa sukarnya berada dalam ‘gelombang darurat’ – tidur tidak lelap, jantung berdebar-debar, makan dan minum tidak menentu dan pelbagai kepayahan lagi akibat bermain dengan sentimen kaum.  Konklusinya, tidak perlu lagi mengungkit perihal seperti ini – yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan.

Racun perpaduan

Ternyata, faktor ekonomi tidak boleh dipandang enteng dalam mengikat perpaduan antara kaum. Pengagihan kek ekonomi bukan sahaja perlu mengambil kira kedudukan peribumi asal malah nisbah peratusan antara kaum. Jauh sekali jika dasar ini beroperasi seperti Robin Hood, Panglima Nayan atau Salleh Tui yang mengambil dari yang kaya untuk diberikan kepada yang miskin.   Sebaliknya, dasar afirmatif yang dipraktikan adalah ‘diskriminasi’ yang dibenarkan seperti dalam Perkara 8, Perkara 12, dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tanpa menganiayai kaum-kaum lain.

Andai tidak mengambilkira nisbah peratusan kaum agak sukar untuk menegakkan equality (kesamarataan) dan equity (keadilan). Oleh hal yang demikian, kerajaan perlu berhati-hati dalam mengagihkan peratusan tersebut agar tidak menjadi racun hingga membunuh perpaduan antara kaum. Sebagai contoh, bantuan atau subsidi aktiviti yang dapat meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar yang kebanyakan terdiri daripada orang Melayu perlulah diberi keutamaan. Tanpa mengira kaum, kerajaan menyediakan peruntukan yang lebih untuk kursus-kursus kemahiran bagi mengeluarkan golongan B40 daripada garis kemiskinan. Semua ini penting agar antara kaum tidak saling memandang sinis dan curiga antara satu sama lain.

Namun, hal ini tidak pula mengetepikan peruntukan aktiviti ekonomi di bandar kerana golongan B40 boleh wujud sama ada di bandar mahu pun luar bandar. Dalam hal ini, mungkin pihak kerajaan boleh mewujudkan Dana Pejaja dan Peniaga Bandar untuk memberi pinjaman kepada mereka untuk memajukan atau menambah baik perniagaan sedia ada. Bagi yang berpendapatan kurang daripada RM2000 sebulan pula dibantu dan dibimbing untuk mendapatkan pasaran atau jaringan meluaskan perniagaan. Selain itu, koperasi-koperasi yang berteraskan perniagaan perlu diperkukuhkan dalam merancakkan sumber rezeki masyarakat tersebut.

Biar panas hingga ke petang

Sebagai sebuah negara bermasyarakat majmuk, ada baiknya kita kembali kepada fitrah pluraliti, iaitu berkongsi ekonomi dalam acuan sesama warganegara Malaysia. Andai terdapat pihak yang menerima lebih, bertolak ansurlah bukan ‘menganalisis’ hingga menjerumus kepada pertikaian. Paling penting sama-samalah kita saling meredhai kurniaan rezeki di bumi Malaysia ini. Sekalipun terdapat persaingan ‘membolot’ dan menguasai ekonomi, pastikan ia tidak menganiayai dan menzalimi pihak lain. Perlu diingat dalam sebiji tembikai bukan semua yang dijorong rasanya manis, atau setangkai rambai masam semuanya!

Lantaran faktor ekonomi menjadi salah satu indikator kepada perpaduam kaum, maka pihak kerajaan khususnya perlulah berhati-hati menguruskan pengagihan kek ekonomi secara adil. Setiap mekanisme yang digunakan perlulah serasi dan sesuai dengan situasi masyarakat semasa agar nikmat itu terus ‘panas hingga ke petang’. Tidak ada gunanya mengumumkan pelbagai peruntukan, tetapi kemudiannya dimanipulasi oleh pihak tertentu hingga melahirkan ketidakpuasan hati dan prejudis antara kaum. Tidak ada gunanya mencanang ke hulu ke hilir jika lebih menguntungkan segelintir pihak sahaja akibat implimentasi yang longgar. Paling enak biarlah semua rakyat merasai nikmat makan isi dan menghirup kuah bersama-sama. 

Justeru, janganlah kita campakkan diri ke dalam kelompok teknosis yang tenggelam dalam falasi taghut, iaitu mendewakan dan menyembah apa yang dihasilkan oleh tangannya. Kemudian, hanya berserah kepada takdir seperti kata Doris Day dalam lagunya “What will be, will be, que sera sera”.  Menjayakan Wawasan Kemakmuran Bersama (2020-2030) sebagai legasi DEB adalah cabaran besar dalam memastikan pertumbuhan ekonomi dikongsi secara adil tanpa mengira kaum dan lokasi.

Sebagai rakyat yang bertunjangkan Rukun Negara, janganlah padamkan titik perpaduan yang menjadi teras keharmonian dan keamanan itu. Laluilah jalan yang dirintis oleh para leluhur kita melalui slogan “Bhinneka Tunggal Ika” (pelbagai tetap besatu) berasaskan nilai-nilai yang disepakati bersama. Justeru, bersama-samalah kita noktahkan insiden Kampung Medan (2001) Plaza Low Yat (2015), dan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariammam (2018) daripada berulang di negara ini.


* Penulis merupakan seorang pensyarah di UniKL RCMP Ipoh, Perak.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.