Roh Rukun Negara perlu terus ditiup dan disemai dalam diri setiap lapisan masyarakat khususnya generasi muda agar prinsip yang digariskan tidak lupakan serta ditelan peredaran zaman yang semakin canggih ketika ini, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata seharusnya lima prinsip Rukun Negara itu bukan sekadar meniti di bibir tetapi perlu diterapkan dalam kehidupan rakyat bagi menjamin keamanan dan keharmonian negara.

"Saya ingat lagi, sewaktu kecil kami diajar untuk menghafal Rukun Negara di peringkat sekolah dan harus dipraktikkan sehingga meningkat alam remaja dan ke peringkat dewasa.

"Jika bukan kita sebagai rakyat Malaysia yang mendukung falsafah penting ini, siapa lagi yang harus mempertahankannya," kata beliau selepas majlis pelancaran sambutan Ulang Tahun Rukun Negara ke-50 oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini pada Khamis.

Sementara itu Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Tan Sri Lee Lam Thye berkata sambutan jubli emas Rukun Negara sangat signifikan terutamanya dalam mendidik generasi muda supaya lebih mendalami erti falsafah negara itu.

Beliau berkata pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) juga perlu menyemarakkan sambutan tersebut dengan mempromosikan prinsip-prinsip Rukun Negara kepada masyarakat.

"Isu besar mengenai Rukun Negara ini ialah sejauh mana rakyat mengamalkan dan memahami tentang prinsip falsafah negara itu.

"Rakyat perlu tahu prinsip Rukun Negara merupakan tunjang utama dalam mengekalkan keharmonian negara ini dan menjadikan masyarakat berintegriti," katanya.

Dalam pada itu, pasangan pengguna Youtube sensasi S. Pavithra, 28, dan M. Sugu, 29, yang turut diundang ke majlis tersebut berkata lima prinsip Rukun Negara penting untuk diikuti bagi mengekalkan perpaduan negara dan melahirkan rakyat yang jujur, sopan dan menghormati semua bangsa dan agama.

"Saya akan cuba mengajar anak-anak saya tentang prinsip Rukun Negara ini supaya mereka boleh ingat sampai bila-bila," kata ibu kepada anak dua yang teruja dapat bertemu perdana menteri buat kali pertama pada majlis tersebut.

Gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi, 26, pula berpendapat program sambutan itu tepat pada masanya untuk rakyat memahami dengan lebih mendalam mengenai falsafah tersebut.

"Sebagai rakyat Malaysia kita sendiri perlu menerapkan prinsip-prinsip Rukun Negara dan menggunakan media sosial untuk berkongsi dengan rakyat Malaysia yang lain mengenai falsafah ini," tambahnya.

-- BERNAMA