TMI, kalau berani siar fitnah, beranilah tanggung akibatnya - Syed Ali

TMI, kalau berani siar fitnah, beranilah tanggung akibatnya - Syed Ali
SYED ALI: TMI, kalau berani siar fitnah, beranilah tanggung akibatnya - Gambar fail
KUALA LUMPUR: "Jangan hendak salahkan polis apabila pengarang portal berita The Malaysian Insider (TMI) ditangkap, kalau berani buat fitnah dan laporan palsu, beranilah tanggung akibatnya," tegas Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Ketua UMNO Bahagian Cheras itu berkata, TMI sengaja melibatkan Majlis Raja-Raja Melayu dalam isu hudud dengan satu laporan pembohongan dan berunsur fitnah.

"Portal berita TMI telah menyiarkan satu laporan yang tidak tepat sehingga menjejaskan kedudukan Majlis Raja-Raja Melayu.

"Ini satu contoh laporan pembohongan paling besar, penulisan fitnah yang disengajakan, yang tidak boleh dimaafkan," katanya dalam catatan terbaharunya di http://umnobahagiancheras.blogspot.com.

Sehubungan itu kata Syed Ali, mereka yang terbabit dalam penyiaran berita bohong itu perlu menerima risiko di atas perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu.

Semalam, polis telah menahan tiga pengarang kanan TMI berhubung satu artikel berkaitan hudud yang turut mengaitkan dengan Majlis Raja-Raja Melayu.
Tindakan polis itu bagaimanapun mendapat kecaman daripada Centre for Independent Journalism (CIJ) yang menyifatkan satu penyalahgunaan kuasa dan mereka perlu dibebaskan segera.

Pengarah CIJ, Sonia Randhawa dan Jack Kee dalam satu kenyataannya dilaporkan turut mempertikaikan cara polis datang ke pejabat TMI dan menangkap pengarang yang terbabit.

Mengulas lanjut, Syed Ali berkata CIJ sepatutnya 'mendidik' pengamal media tersebut supaya lebih beretika dan membuat laporan berdasarkan fakta serta kebenaran.

"Mengapa CIJ hanya nampak (polis) tangkap mereka, tetapi tidak peduli kepada soal isu hudud dan kedudukan Majlis Raja-Raja Melayu, jadi kita sudah dapat agak apa sebenarnya niat mereka (CIJ)," tegasnya.

Negara ini katanya, masih mempunyai undang-undang dan polis akan bertindak sekiranya artikel atau laporan pemberitaan itu cenderung kepada hasutan yang boleh memudaratkan ketenteraman awam.

"Kita sepatutnya beri sokongan kepada pihak berkuasa termasuk polis yang telah bertindak tegas bagi membendung penularan laporan berbau fitnah serta provokasi," katanya.

Sehubungan itu katanya, mengingatkan pengamal media teutama media sosial perlu lebih beretika dan bertanggungjawab dengan tidak sengaja menyiarkan berita berbau fitnah, hasutan dan provokasi.

Syed Ali turut kesal kerana sejak akhir-akhir ini mereka yang bertanggungjawab mengendalikan media seperti portal berita seperti sengaja menyiarkan laporan yang meragukan dan tidak  berasas.

"Banyak laporan bohong yang sengaja disiarkan menerusi portal berita bertujuan mengajak rakyat membenci kerajaan, ini trend yang tidak baik dan bercanggah dengan etika kewartawanan," tegasnya.

Dakwa Syed Ali, parti-parti politik dan mereka yang pro-pembangkang sengaja memilih laporan media sosial untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik.

"Ini bukan bermakna kerajaan menyekat kebebasan akhbar, tetapi cara seperti itu (laporan fitnah) bercanggah dengan prinsip dan undang-undang," katanya.

Malah katanya,ada pengendali portal berita seperti 'keras kepala' dengan tidak mengambil peduli peringatan pihak berkuasa seolah-olah mereka kebal daripada undang-undang.

Jelasnya, penyiaran berita atau laporan berbau fitnah dan tidak berasas  semakin berleluasa sehingga mencetuskan kegelisahan banyak pihak.

"Portal berita pro-pembangkang khususnya sengaja menyiarkan berita atau laporan tidak tepat, sarat dengan cerita bohong bagi memberi persepsi buruk kepada rakyat," ujarnya.

Katanya lagi, kebebasan akhbar termasuk hak bersuara tidak bermakna mereka bebas menyiarkan laporan negatif yang boleh memudaratkan keamanan negara.

Tag: syed ali, tmi, cij, polis