Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengambil langkah proaktif dengan memastikan bekalan elektrik stabil susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dikuatkuasakan pada 18 Mac lepas.

Menerusi kenyataan media hari ini, selain memperkukuh sistem bekalan elektrik ke hospital yang menjadi pusat perubatan bagi menangani wabak COVID-19, TNB turut meletakkan 79 set jana kuasa bergerak dengan pelbagai kapasiti di seluruh negara.

"Sistem bekalan elektrik ke hospital-hospital yang menjadi pusat perubatan bagi menangani wabak COVID-19 turut diperkukuh seperti Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur.

"Set jana kuasa mudah alih juga digerakkan dan kesemuanya berada dalam keadaan bersedia sekiranya diperlukan," menurut kenyataan itu.

TNB turut memaklumkan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah mengadakan sesi lawatan ke Pusat Kawalan Wilayah Selatan dan Metro serta National Load Dispatch Centre di Ibu Pejabat TNB hari ini.

Dalam sesi lawatan tersebut, Shamsul Anuar menyuarakan keyakinannya terhadap TNB serta kesiapsiagaan bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia dalam menghadapi cabaran PKP.

"Tentunya ketika rakyat Malaysia mematuhi perintah untuk berada di rumah, warga kerja TNB berperanan penting memastikan bekalan elektrik yang stabil dapat dinikmati semua.

"Saya juga dimaklumkan TNB bersedia memastikan bekalan elektrik ke hospital-hospital, baik di bandar mahupun klinik-klinik kesihatan di luar bandar, terjamin," katanya.

Turut hadir Timbalannya, Ali Biju; Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Zurinah Pawanteh; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian, Noor Afifah Abdul Razak dan Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Tenaga, Abdul Rahim Ibrahim. - BERNAMA