Selain Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Persekutuan 2 (FHR2) turut terlibat dalam pemanjangan tempoh konsesi sebagai usaha kerajaan mengurangkan bebanan bayaran tol dan kos sara hidup pengguna lebuh raya, demikian menurut Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

"Melalui penstrukturan semula kadar tol, pengguna kenderaan kelas 1 (kereta) kini hanya perlu membayar RM1.10 berbanding kadar tol Perjanjian Konsesi asal iaitu RM2.40.

"Selain itu, pengguna juga boleh menikmati peratus kenaikan kadar tol yang lebih rendah," menurut LLM dalam kenyataan hari ini.

LLM memberi contoh, kenaikan kadar tol di PLUS sebelum ini adalah 10 peratus bagi setiap tiga tahun, tetapi dengan pemanjangan konsesi kenaikan kadar tol kini ditetapkan pada kadar lima peratus bagi setiap tiga tahun.

Kenyataan LLM itu sebagai mengulas laporan portal berita Malaysia Digest bertajuk "Despite Scheduled To End This Year, Federal Government Renews Batu Tiga Toll For 20 More Years" pada 16 April lepas, bahawa kerajaan memperbaharui kontrak konsesi, yang dijadual tamat akhir tahun ini, dengan memperbaharuinya sehingga 2035 tanpa sebab kukuh dan menimbulkan rasa tidak puas hati pengguna.

Laporan itu turut memetik Anggota Dewan Undangan Negeri Batu Tiga Rodziah Ismail yang berkata kerajaan persekutuan perlu memberi jawapan atas dasar apa kontrak diperbaharui dan ke mana wang itu akan disalurkan.