Keputusan kerajaan tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang dipersetujui, tidak perlu dimasukkan ke dalam penyata rasmi harian (hansard) Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, perkara itu tidak perlu dibangkitkan kerana keputusan berkenaan sudah dibuat di Kabinet, semalam.

Beliau berkata, keputusan sebulat suara di Kabinet diperolehi selepas beliau mengadakan rundingan dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini.

“Isu ini apa sebenarnya? Mereka nak selesaikan isu ataupun hendak heret perkara ini lebih kepada kepentingan politik? Kenapa pula nak hansard di Parlimen? Benda ini tioada kena-mengena.

“Kita pun bukan kata kita nak buat pun. Adakah kita kata dulu kita nak tandatangani? Tiada. Tun Mahathir sebelum ini pun kata tidak akan tandatangan, sehingga kita semua berunding dengan semua kaum,” ujar beliau.

Beliau yang juga Naib Presiden Amanah berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Angkatan Wanita Amanah Nasional (AWAN) Amanah Nasional, di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Turut hadir pada majlis itu, Ketua Menteri merangkap Pengerusi Amanah Melaka, Adly Zahari dan Ketua Wanita AWAN, Dr Siti Mariah Mahmud.

Mengulas lanjut, ujar Mujahid, isu berkenaan sengaja diperbesarkan oleh pihak tertentu untuk kepentingan politik dengan menggunakan sentimen perkauman bagi menagih sokongan rakyat.

Katanya, kerajaan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan di mana di dalamnya termaktub kontrak sosial yang dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara.

Dalam pada itu, Adly berkata, beliau berharap rakyat tidak termakan dengan perkara-perkara yang membangkitkan isu perkauman atau ekstremis agama untuk kepentingan sesetengah pihak.

“Kalau kita lihat sebenarnya, asas kita adalah Perlembagaan negara. Jadi keharmonian kita adalah berdasarkan kepada Perlembagaan itu, apabila dibuat di peringkat Kabinet.

“Saya yakin bahawa melalui keputusan dan asas-asas kita dalam Perlembagaan itu, (boleh dirujuk) untuk kita menuju ke masa depan.

“Apapun isu yang berbangkit, Perlembagaan negara itu menjadi tunggak kita sama ada dari segi kaum, agama ataupun raja-raja,” ujar beliau yang turut menyatakan persoalan-persoalan asas itu adalah antara yang diperjuangkan dalam Pakatan Harapan.