Tutup

Toleransi mudahkan tugas penjawat awam - Tun Mahathir

Toleransi mudahkan tugas penjawat awam - Tun Mahathir
TUN M: Apabila ditegur, jangan melenting, ada asas atau tidak, kalau ada asasnya betulkan diri kita. - Foto Twitter/BERNAMA
PUTRAJAYA: Sikap toleransi akan memudahkan semua penjawat awam di pelbagai peringkat dalam menjalankan tugas dengan baik.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sebarang kesukaran dalam kerja akan terhapus jika ada kerjasama dan timbang rasa penjawat awam berpangkat tinggi dan rendah dalam tugas masing-masing.

"Hari ini saya ada baca, khidmat kita tidak efisien seperti dahulu. Mungkin benar, mungkin tidak benar.

"Apabila ditegur, jangan melenting, ada asas atau tidak, kalau ada asasnya betulkan diri kita. Dalam badan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) ini ada banyak masalah, kita dapati kena bekerja dengan orang yang tidak sesuai dengan kita.
"Inilah yang saya sebut tadi sifat toleransi, bertimbang rasa dan menerima kelainan yang terdapat di kalangan kita," katanya semasa menyampaikam amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan warga JPM di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu kata Dr Mahathir, penyesuaian dalam keadaan akan menjadikan setiap penjawat awam dapat menjalankan tugas dengan sempurna.
Ia termasuk hubungan baik dalam kehidupan walaupun dengan kawan atau lawan.

Tambahnya, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sudah mengambil alih kerajaan selama setahun ini sudah dapat mengatasi sesetengah masalah.

"Hubungan baharu dan lama yang ada masalah perlu diatasi semua. Dalam bulan Raya ini kita bermaaf-maafan zahir dan batin. Kita mesti amalkakan apa kita sebut tadi.

"Kalau ada tidak disenangi kita, kena fikir pentingnya bermaaf-maafan agar kita dapat bekerjasama dalam kerja mentadbir negara dengan baik supaya kita dapat manfaat hasil pentadbiran yang baik.

"Ingatan ini kepada Muslim atau tidak, perlu bertimbang rasa, bermaafan zahir dan batin, bekerjasama antara kita supaya dapat dilaksanakan tanggungjawab antara semua," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Mahathir menjelaskan, amalan rumah terbuka adalah sesuatu yang baik namun harus diingat setiap perkata ada kebaikan dan keburukannya.

"Kita ada rumah terbuka, kita kumpul bersuka ria meraikan selepas berpuasa, memang baik kita meraikan dengan rumah terbuka kerana unik bagi rakyat Malaysia.

"Semua rakyat dapat duduk bersembang bersama, merapatkan hubungan pelbagai kaum. Tidak kurang bukan Islam hadir merayakan rumah terbuka," jelasnya.





Tag: Mahathir Mohamad, penjawat awam, toleransi, tugas, kerja, JPM



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.