Tutup

Tommy dakwa permohonan komital keluarga Adib tidak lengkap

Tommy dakwa permohonan komital keluarga Adib tidak lengkap
Dakwaan keluarga anggota bomba itu bahawa afidavit Tommy yang didakwa menggangu inkues serta menghina mahkamah tidak diberikan secara terperinci. - Gambar fail
SHAH ALAM: Peguam Negara, Tommy Thomas memberitahu bahawa permohonan komital keluarga anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim terhadapnya berhubung prosiding inkues bagi mencari punca kematian Muhammad Adib, tidak lengkap.

Peguam Kanan Persekutuan S. Narkunavathy memberitahu Mahkamah Koroner di sini ia kerana dakwaan keluarga anggota bomba itu bahawa afidavit Tommy yang didakwa menggangu inkues serta menghina mahkamah tidak diberikan secara terperinci.
"Pihak pemohon (keluarga Muhammad Adib) tidak memberitahu mahkamah bagaimana afidavit peguam negara yang mendakwa mangsa meninggal dunia bukan disebabkan dipukul, mengganggu inkues.

"Mereka sepatutnya memberikan maklumat terperinci berhubung pendirian mereka berkenaan afidavit peguam negara itu." kata beliau yang mewakili Peguam Negara di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.
Terdahulu peguam Hanif Katri Abdulla yang mewakili keluarga Muhammad Adib mengatakan bahawa afidavit peguam negara pada 3 April lepas yang menyatakan Muhammad Adib meninggal dunia bukan disebabkan kecederaan akibat serangan, jelas menggangu prosiding inkues.

Beliau berkata Tommy sebagai Peguam Negara tidak boleh mengeluarkan keputusan berhubung punca kematian Muhammad Adib.

"Ini adalah asas dan mahkamah perlu rujuk terhadap kenyataan yang dikeluarkan secara peribadi oleh Tommy," katanya.

BACA: Mahkamah Koroner teliti dua isu terhadap Peguam Negara

BACA: Keluarga Adib tiada niat penjarakan Peguam Negara

Dalam prosiding hari ini Rofiah turut menetapkan 27 Ogos ini sebagai tarikh untuk memutuskan sama ada boleh atau tidak untuk memulakan prosiding komital terhadap Tommy selepas mahkamah mendengar hujahan Haniff dan Narkunavathy.

Pada 16 Julai lepas, bapa Muhammad Adib, anggota bomba yang maut dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, tahun lalu, Mohd Kassim Abdul Hamid, memfailkan permohonan perintah komital kepada Peguam Negara, Tommy Thomas kerana menghina mahkamah berkaitan prosiding inkues bagi mencari punca kematian anaknya.

-- BERNAMA


Tag: peguam negara, tommy thomas, muhammad adib mohd kassim, mahkamah, insiden kuil, rusuhan kuil



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.