Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan penubuhan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang akan bertindak sebagai penyelaras kepada agensi kerajaan yang terlibat dengan penguatkuasaan bencana termasuk banjir.

Ahmad Zahid berkata agensi tersebut yang kali pertama beroperasi musim banjir kali ini bukan untuk mengambil alih peranan agensi berkenaan, namun ia diwujudkan untuk memastikan segala bantuan mangsa banjir dapat disalurkan dengan lebih efektif dan tersusun.

"NADMA diwujudkan bukan untuk ambil fungsi agensi lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), bomba, Rela dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tetapi untuk menguruskan dan menyelaras apa juga bencana yang berlaku di negara kita.

"Jadi agensi lain tak payahlah kedekut untuk beri pinjam bot atau aset-aset lain kerana semua yang dilakukan ini adalah untuk kebajikan rakyat kita yang terlibat dengan bencana termasuk banjir," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan rasmi di pusat pemindahan banjir Dewan Serbaguna Felda Seberang Tayor, Air Putih, di sini hari ini.

Ia turut dihadiri Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abd Rahman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek merangkap Anggota Parlimen Kemaman.

Pusat berkenaan menempatkan 286 daripada 66 keluarga sekitar Felda Sebarang Tayor, namun ia dijangka ditutup petang ini berikutan keadaan banjir yang mulai surut.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata NADMA ditubuhkan hasil mesyuarat Jemaah Menteri diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan melakukan pembaharuan kali ini dengan melakukan prapendaftaran mangsa di kawasan yang mudah terjejas.

Tindakan itu dilihat membantu mengurangkan masalah kesesakan dan birokrasi penyediaan tempat pemindahan yang berlaku sebelum ini.

Dalam masa sama, beliau turut memuji langkah yang dilakukan Kemaman memperkenalkan skim perlindungan insurans banjir, membolehkan mangsa terlibat mendapat pampasan sehingga RM1,000 dengan bayaran premium hanya serendah RM70.

Ahmad Zahid berkata bayaran tersebut termasuk RM20 yang disumbangkan oleh kerajaan, sedikit sebanyak membantu mengurangkan kerugian yang ditanggung mangsa akibat bencana itu.

"Langkah memperkenalkan skim perlindungan insurans ini adalah pendekatan terbaik dan kita akan guna pakainya untuk mangsa banjir di seluruh negara

"NADMA telah menjemput beberapa syarikat memberi penerangan dan kertas kerja juga disediakan kepada jemaah menteri untuk kelulusan," katanya.

Setakat ini dua syarikat insurans telah menyatakan persetujuan untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam hal tersebut.

Dalam majlis itu, beliau turut menyampaikan cek insurans kepada 15 Pengerusi JKKK sekitar Kemaman.