TPM Wan Azizah mahu penjualan 'Ghost Smoke' dihentikan segera

TPM Wan Azizah mahu penjualan 'Ghost Smoke' dihentikan segera
WAN AZIZAH: Saya tidak mahu perkara ini menjadi penyakit masyarakat yang menular dalam kalangan kanak-kanak dari kecil lagi. - Gambar fail/Astro AWANI
PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu penjualan gula-gula 'Ghost Smoke' yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut dihentikan segera.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada masa yang sama meminta ibu bapa meningkatkan pemantauan ke atas anak masing-masing.

"Saya tidak mahu perkara ini menjadi penyakit masyarakat yang menular dalam kalangan kanak-kanak dari kecil lagi," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai 'Ghost Smoke' selepas majlis Siri Wacana Sri Satria di sini pada Isnin.

Baru-baru ini, media melaporkan mengenai kebimbangan ibu bapa berhubung penjualan gula-gula berkenaan yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut.

Dr Wan Azizah juga tidak menolak kemungkinan gula-gula berkenaan boleh menjadi permulaan kepada masalah penagihan dadah.

"Dulu smoking (merokok), kemudian dadah dan syabu," katanya.

Pada majlis Wacana Ilmu Sri Satria hari ini, Ketua Jabatan Perpustakaan dan Sains Maklumat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof Dr Roslina Othman menyampaikan syarahan bertajuk 'Model Ansar dan Muhajirin Dalam Pengurusan Pelarian'.

Wacana itu merupakan idea Dr Wan Azizah sendiri untuk mengimarahkan Sri Satria, yang merupakan kediaman rasmi timbalan perdana menteri, sebagai pusat perkembangan ilmu. Seorang tokoh akan menyampaikan syarahan sebulan sekali bagi berkongsi ilmu yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan negara.

-- BERNAMA


Tag: Timbalan Perdana Menteri, Wan Azizah Wan Ismail, gula-gula, Ghost Smoke, asap rokok, ketagih, merokok



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.