Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan lelaki warga Korea Utara yang dipercayai dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2 Isnin lalu adalah Kim Jong Nam, abang kepada pemimpin negara itu, Kim Jong-un.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menjelaskan, pengesahan itu dibuat berdasarkan pasport dan dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan Kedutaan Korea Utara.

"Ya betul (dia adalah Kim Jong Nam). Pertama adalah (pengesahan) berdasarkan pasport yang kami bandingkan dengan dokumen yang dikeluarkan Kedutaan Korea Utara, dan (dokumen) pengenalan diri yang dikeluarkan kedutaan itu," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Meja Bulat Bersama Wakil Industri Berkenaan Pekerja Asing di pejabatnya di Putrajaya.

Bagaimanapun katanya, keputusan DNA masih belum diperolehi dan perkara itu diserahkan kepada pihak hospital dan polis.

"Mengenai DNA (lelaki itu) saya serahkan pada pihak hospital dan polis untuk membuat pengesahan secara rasmi," jelasnya.

Ditanya mengenai punca kematian lelaki warga Korea Utara itu, beliau perkara itu masih belum dapat dipastikan, dan menyerahkan siasatan kepada pihak hospital dan polis.

Katanya lagi, polis juga telah menyiasat jika berlaku kemungkinan pasport lelaki berkenaan adalah palsu.

"Kami juga melihat kemungkinan itu (pasport palsu), saya rasa dia membawa dua identiti yang berbeza, mungkin ini adalah untuk penyamaran. Ini adalah pasport yang authentic sebenarnya," tambahnya.

Dalam pada itu, hubungan Malaysia dan Korea Utara tidak terjejas susulan insiden berkenaan kerana ia disifatkan sebagai kes terpencil.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijamin selamat.

"Saya ingin memberi jaminan bahawa keselamatan di lapangan terbang negara kini adalah di peringkat tertinggi. Kita ada CCTV berdefinisi tinggi HD, 'omni presence' dan sistem keselamatan. Kejadian ini adalah kes terpencil. Kita sedang meneliti rakaman CCTV.

"Saya rasa polis telah melakukan penelitian ke atas CCTV dan bukan hanya satu atau dua CCTV. Malah terbaharu, kita telah mengenal pasti suspek yang telah ditahan," ujarnya.