Tradisi perkahwinan beramai-ramai secara percuma yang dianjurkan oleh Kerajaan Terengganu akan diteruskan pada masa hadapan, kata Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata meskipun ia adalah inisiatif yang dimulakan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) langkah itu diteruskan kerana terbukti ia banyak membantu golongan muda dan pasangan yang kekurangan sumber kewangan mendirikan rumah tangga.

"Mana-mana agenda yang baik dan memberi manfaat untuk rakyat kita akan teruskan mengikut kemampuan kewangan kerajaan negeri...selepas ini mungkin akan ada pembabitan pihak swasta selain daripada kos yang ditanggung oleh kerajaan negeri.

"Kita turut mengalu-alukan pasangan bukan Islam yang berasal dari negeri ini untuk memohon menyertai perkahwinan perdana ini agar lebih ramai pasangan yang dapat menyertai majlis perkahwinan ini pada masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meraikan 183 pasangan pengantin dalam majlis Walimatulurus Perdana 2018 yang dianjurkan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A Rahman Yahya dan Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustaffa.

Program ini adalah yang keempat dilaksanakan sejak tahun 2016 yang melibatkan 217 pasangan, 271 pasangan pada 2017, 111 pasangan Mac lepas dan 183 pasangan semalam.

Sementara itu pasangan Che Nurul Aini Mariana Che Lahami, 19, dan suaminya, Mohamad Safwan Jusoh, 22, antara pasangan termuda yang menyertai majlis perkahwinan itu selepas berkenalan selama dua tahun menerusi media sosial.

"Saya dan suami berkenalan menerusi aplikasi WeChat dua tahun yang lalu. Kedua-dua ibu bapa kami kemudian menasihatkan agar kami disatukan segera kerana sering berjumpa, jadi untuk mengelakkan fitnah, kami pun bersetuju untuk menyertai majlis perkahwinan ini.

"Alhamdulillah, segala persiapan berjalan lancar dan terima kasih diucapkan kepada YPKT kerana dengan bantuan pakej perkahwinan ini kami bukan sahaja dapat melangsungkan perkahwinan secara percuma.

"Malah kami turut dihadiahkan pakej bulan madu tiga hari dua malam dan sijil simpanan Premium Bank Simpanan Nasional bernilai RM1,000 untuk simpanan masa depan," katanya yang berasal dari Kampung Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu.

-- BERNAMA