Polis masih menjalankan siasatan berhubung kematian remaja lelaki berusia 15 tahun yang maut dihempap kerusi pejabat.

Dalam kejadian pada Isnin sekitar jam 8 malam, polis mengesahkan menerima panggilan berhubung kejadian di projek Perumahan Rakyat Seri Pantai, Pantai Dalam yang mengorbankan S. Sathirawan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat hentakan kerusi pejabat yang terkena tepat mengenai kepalanya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Polis Kuala Lumpur pada Rabu, laporan bedah siasat masih belum diperolehi.

BACA: Remaja maut ditimpa kerusi di PPR

Polis kini masih menjalankan siasatan dan menemubual 31 orang saksi yang melibatkan penghuni kediaman itu.

BACA: Tragedi Blok 102: Kerusi 'maut' ada di tingkat 21 pada hari kejadian - Datuk mangsa

Pasukan forensik pula mengesahkan mengambil sampel darah di kerusi terbabit serta merakam percakapan lima orang saksi di lokasi kejadian.

Kes kematian diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Polis turut merayu orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian agar tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi ASP Firdaus Sharil di talian 012-3388164 atau 03-9051222.