Sehingga semalam, Polis Pulau Pinang sudah merekod keterangan daripada 45 individu bagi membantu siasatan berhubung kejadian tanah runtuh di Bukit Kukus, Paya Terubong dekat sini 19 Okt lepas yang mengorbankan sembilan nyawa pekerja asing.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Seri A.Thaiveegan berkata mereka terdiri daripada kalangan pihak kontraktor projek, subkontrator dan pakar-pakar berkaitan serta petugas beberapa agensi kerajaan yang terlibat dalam projek itu.

Beliau berkata ada beberapa lagi individu yang akan dipanggil untuk diambil keterangan dan sehingga kini semua pihak memberikan kerjasama yang baik, namun beliau memberi amaran polis tidak akan teragak-agak untuk menahan mana-mana pihak yang enggan memberi kerjasama dalam siasatan itu.

"Sehingga tahap ini, saya tidak boleh dedahkan hasil awal siasatan kami kerana polis sedang melengkapkan siasatan kes itu secepat mungkin sebelum diserahkan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata beberapa individu yang sudah diambil keterangan sebelum ini, dijangka akan dipanggil sekali lagi bagi melengkapkan siasatan, kerana ia perlu dengan teliti serta lengkap, dan menurutnya pasukan khas diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang Zainal Samah sedang bekerja keras menyiasat secara terperinci dari pelbagai aspek untuk melihat sekiranya ada unsur-unsur kecuaian dalam kejadian itu.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Datuk Yew Tung Seang dalam majlis berasingan berkata Jawatankuasa Khas MBPP yang ditubuhkan untuk menyiasat punca kejadian tanah runtuh itu, sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian berkenaan.

"MBPP masih menjalankan siasatan dan apabila siap sepenuhnya nanti, kami akan maklumkan (kepada orang ramai)," katanya yang enggan mengulas lanjut.

Kejadian tanah runtuh di tapak projek jalan berkembar Bukit Kukus pada pukul 1.56 tengah hari itu turut mengakibatkan empat rakyat asing cedera, manakala seorang lagi dilapor hilang.

-- BERNAMA