Jalan Sukpa di Indera Mahkota di sini, yang dijadikan litar Perlumbaan Automatif dan Inovasi Pendidikan 2016 (EIMARace) 2016 merupakan pilihan ketiga, dan dipilih pada saat-saat akhir.

Sumber Persatuan Automobil Malaysia (MAM) memberitahu Bernama bahawa litar asal yang diluluskan bagi perlumbaan itu ialah Stadium Hoki di Wisma Belia, Indera Mahkota di sini, namun difahamkan penganjur tidak membuat tempahan.


Faktor keselamatan dipertikai

"Penganjur kemudiannya menghantar laluan litar kedua sebagai alternatif di kawasan yang sama dengan litar pada Ahad, namun laluan asal tidak melibatkan jalan besar atau kawasan kemalangan itu berlaku.

"Kami hanya dimaklumkan mengenai litar ketiga pada Jumaat dan kami membuat keputusan untuk membatalkan perlumbaan, namun penganjur merayu atas alasan semua pelajar bersedia untuk bertanding," katanya semasa dihubungi di sini, semalam.

Sumber berkenaan menambah pihaknya telah memaklumkan penganjur bahawa kawasan kemalangan (semalam) adalah kawasan kritikal tidak dibenarkan mempunyai penonton dan penganjur bersetuju untuk menempatkan pengawal keselamatan di situ.

Katanya tinjauan yang dilakukan pegawai MAM pada pukul 9 pagi Ahad mendapati kawasan itu tidak mempunyai penonton dan terdapat anggota keselamatan yang bertugas mengawal kawasan itu.

Pihak MAM juga telah memberi taklimat dan menegaskan kepada pemandu kenderaan jenis go-kart itu bahawa kawasan tersebut adalah kawasan kritikal yang tidak dibenarkan memotong, selepas mengambil kira aspek keselamatan.

"MAM mengambil perkiraan aspek keselamatan yang sepatutnya dan penganjur bertanggungjawab untuk memastikan semua aspek keselamatan dipatuhi, khususnya apabila melibatkan litar terbuka yang boleh dimasuki penonton dari pelbagai arah.

"MAM juga telah menangguhkan latihan perlumbaan pada Sabtu, selepas mendapati aspek keselamatan agak longgar termasuk ketiadaan penghadang yang mencukupi. Penganjur kemudiannya menambahbaik.

"Kami telah berkali-kali menegaskan perlunya untuk awasi pergerakan orang ramai. Perlumbaan pada hari kejadian juga bermula lewat kerana pegawai MAM sekali lagi melakukan pemeriksaan ekoran hujan pada malam Sabtu," katanya.

Sumber menambah pihaknya juga masih menunggu laporan penuh daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) selaku penganjur dan MAM juga akan menghantar laporan serta minit mesyuarat mereka berhubung penganjuran perlumbaan kepada pihak polis.

Sementara itu, dalam kenyataan media MAM malam ini, pihak MAM memaklumkan mereka akan melakukan siasatan terperinci berhubung kemalangan itu, yang mengakibatkan penyelia kilang Izwan Isa, 39, dan anaknya Nur Zulaikha, 5 tahun, maut akibat dirempuh sebuah go-kart yang terbabas semasa menonton perlumbaan itu.

Kemalangan pada pukul 11.30 pagi yang dipercayai berlaku apabila tiga kenderaan itu bergesel sesama sendiri, turut menyebabkan isteri mangsa Siti Suhaiza Seman, 38, dan anak sulung mereka Muhammad Izz Daniel, 7 tahun, cedera.

Kenyataan itu juga menyebut MAM mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.