Universiti Teknologi Malaysia (UTM) selaku penganjur Perlumbaan Automatif dan Inovasi Pendidikan 2016 (EIMARace) 2016, menafikan mereka pernah mengemukakan permohonan kepada Persatuan Automobil Malaysia (AAM).

Naib canselornya Profesor Datuk Ir Doktor Wahid Omar berkata permohonan untuk aspek keselamatan dikemukakan kepada Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) yang merupakan badan yang berhak untuk mengeluarkan permit keselamatan.


Kementerian Pengajian Tinggi tubuh jawatankuasa siasat nahas go kart

"Selama sembilan tahun penganjuran, kita telah mendapat permit daripada MAM dan tidak pernah berurusan dengan pihak lain. Untuk tahun ini, kita juga telah memperoleh permit kerana tanpa permit keselamatan, perlumbaan tidak boleh diadakan.

"Semua aspek keselamatan sudah termasuk dalam permit dan diperiksa sebelum dan semasa perlumbaan berlangsung. Jika ada aspek keselamatan yang tidak dipenuhi, MAM boleh menarik balik permit pada bila-bila masa," katanya.

Wahid berkata demikian kepada pemberita semasa melawat kawasan kenderaan jenis go-kart terbabas dan melanggar sebuah keluarga sehingga menyebabkan penyelia kilang Izwan Isa, 39, dan anak bongsunya Nur Zulaikha, lima, meninggal dunia.

Kemalangan yang dipercayai berpunca daripada pergeselan tiga buah go-kart itu turut menyebabkan isteri mangsa Siti Suhaiza Seman, 38, dan anak sulung mereka Muhammad Izz Danial, tujuh, cedera.

Turut meninjau kawasan kejadian ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Tan Sri Noorul Ainur Mohd Nur dan mereka turut mendengar taklimat selama kira-kira 15 minit daripada pengarah program Profesor Madya Dr Aminudin Abu.

Hari ini, sebuah media tempatan melaporkan dakwaan AAM bahawa penganjur EIMARace 2016 meneruskan perlumbaan tanpa kelulusan ekoran kos penyediaan aspek keselamatan yang tinggi.

Wahid juga berkata wakil MAM juga berada di litar perlumbaan sepanjang ia berlangsung bagi meninjau aspek keselamatan termasuk keselamtan jentera telah dipatuhi pihak penganjur.

"UTM akan membuat siasatan dalaman dan kejadian ini adalah pengajaran kepada kami dalam penganjuran acara yang berisiko di masa hadapan," katanya dan menambah hasil siasatan itu akan diumumkan kepada umum.

Berhubung pemilihan Jalan Sukpa di Indera Mahkota sebagai litar perlumbaan, Wahid berkata saranan itu datang daripada kerajaan negeri dan pihaknya telah meninjau kesesuaian jalan serta mendapat kelulusan daripada MAM.

Terdahulu, Wahid dan Noorul Ainur turut meluangkan masa selama kira-kira 15 minit menziarahi Siti Suhaiza di kediamannya di Astana Permai di sini, untuk menyampaikan salam takziah dan menyampaikan sedikit sumbangan.

Mereka juga melawat Muhammad Izz Danial di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, yang kini dalam keadaan stabil dan dijaga oleh emak saudaranya. - BERNAMA