Tabung Haji belum menerima laporan hasil siasatan penuh tragedi kren runtuh di Masjidilharam, Mekah.

Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim, berkata setakat ini rangka kren itu baru saja diturunkan dan dibawa keluar dari kawasan kemalangan untuk siasatan terperinci.

Menurutnya, akhbar tempatan di Arab Saudi memaklumkan, Kerajaan Arab Saudi tidak membenarkan jurutera syarikat yang mengendalikan kren itu meninggalkan negara terbabit sehingga siasatan penuh selesai.

"Syarikat terbabit juga turut disenarai hitamkan buat masa ini" katanya selepas melawat dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa kren runtuh, Abdul Habib Lahman di Kampung Batu Besar di sini, petang tadi.

Balu Abdul Habib, Robiah Abdullah menerima sumbangan 20 ribu ringgit daripada Tabung Haji dan 20 ribu ringgit lagi menerusi Skim Insuran Takaful.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan 14 jemaah haji dari Malaysia meninggal dunia di Mekah, termasuk tujuh yang terbabit dalam insiden kren runtuh.

Dalam perkembangan lain, pergerakan semua jemaah haji dari malaysia semasa wukuf di Arafah berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Tabung Haji sentiasa memberi perhatian serius berhubung aspek keselamatan dan memantau perkembangan jemaah secara rapi.