Sampel asid dioksirinobukleik (DNA) waris dua jemaah haji Malaysia yang masih hilang selepas tragedi kren tumbang di Masjidilharam pada 11 September lepas, telah diserahkan kepada pihak berkuasa Arab Saudi untuk proses pengecaman jenazah di rumah mayat Muaissem di Mina.

Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dalam satu sidang media di Kompleks Tabung Haji di sini pada Sabtu berkata proses padanan DNA jenazah di rumah mayat itu akan mengambil masa selewat-lewatnya tiga minggu.

"Ini kerana ada tujuh beg plastik yang kami lihat dipenuhi cebisan daging dan tulang. Ia dikatakan cebisan lebih ramai daripada dua jemaah. Oleh sebab itu kita menantikan keputusan DNA bagi mengesahkannya," kata Abdul Azeez.

Dua jemaah yang hilang itu ialah Shahidan Saad, 52, dari Kodiang, Kedah dan Abdul Habib Lahman, 68, berasal dari Sik, Kedah.

Waris Shahidan ialah abangnya Sobri dan adiknya Zulhakim, manakala Abdul Habib diwakili anaknya Mohamad Fazil.

Ketiga-tiga mereka telah diterbangkan oleh pihak Tabung Haji ke Mekah dan menyerahkan DNA masing-masing bagi proses pemadanan pada 6.15 petang Jumaat waktu Arab Saudi.

Waris akan terus berada di Mekah sehingga keputusan diperoleh dan pada masa yang sama meneruskan ibadat haji.

Bagaimanapun, usaha mencari dua jemaah yang hilang itu di tempat-tempat lain seperti di sekitar Masjidil Haram, hotel dan hospital di sekitar Makkah, masih diteruskan sehingga keputusan DNA muktamad.

Lima jemaah Malaysia yang disahkan terkorban dalam tragedi itu sebelum ini ialah Rusiah Suar, 56, dari Sungkai, Perak; Siti Nurolshlizan Zolkifli, 37, dari Tanah Merah; Rohana Ismail, 54, dari Kuala Krai; dan Munah Jusoh, 73, dari Cherang Ruku; dan Zainun Taha, 69, dari Ampang, Selangor.