Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Tragedi pagi Syawal, ibu dan empat anak rentung di Membakut

Tragedi pagi Syawal, ibu dan empat anak rentung di Membakut
Mangsa yang terlibat dikenali sebagai Aishah Jumat, 58, bersama anak lelakinya, Dzulkarnain Othman, 34, Dzulnisham, 27, Rozaini, 26 dan Rosdi, 24. - Foto JBPM
MEMBAKUT: Kegembiraan di awal pagi Syawal bertukar tragedi apabila seorang ibu dan empat anak lelakinya rentung dalam kejadian kebakaran di Kampung Binsuluk, Membakut, Sabah pagi ini.

Mangsa yang terlibat dikenali sebagai Aishah Jumat, 58, bersama anak lelakinya, Dzulkarnain Othman, 34, Dzulnisham, 27, Rozaini, 26 dan Rosdi, 24.

Dua lagi anaknya, berusia 25 dan 29 tahun yang turut mengalami kecederaan dalam insiden itu akibat melecur, kini menjalani rawatan di Hospital Beaufort.

Suami mangsa, Othman Ali, 64, bersama seorang menantunya bagaimanapun terselamat dalam kebakaran berkenaan.
Bomba menerima panggilan mengenai kejadian terbabit kira-kira jam 2.54 pagi tadi. - Foto JBPM

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian terbabit kira-kira jam 2.54 pagi tadi.
"Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu kemudiannya dikejarkan ke lokasi bagi operasi memadam.

"Kebakaran ini melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal yang musnah seratus peratus. Kita berjaya mengawal api kebakaran sekitar jam 5 pagi tadi," katanya.

Hasil pemeriksaan di lokasi, bomba berjaya menemukan lima mangsa yang rentung dan telah menyerahkannya kepada pihak polis. - Foto JBPM

Jelas beliau, hasil pemeriksaan di lokasi, bomba berjaya menemukan lima mangsa yang rentung dan telah menyerahkannya kepada pihak polis.

"Terdapat dua mangsa yang tercedera dalam kejadian ini dan kini telah ditempatkan di hospital bagi rawatan lanjut," katanya.

Kamarulzaman menambah, pihaknya tidak menolak kemungkinan kebakaran itu berpunca daripada masalah pendawaian elektrik atau dapur memasak.

Bagaimanapun, kata beliau pihaknya akan menunggu laporan lengkap berhubung siasatan di lokasi kejadian sebelum mendedahkan punca sebenar insiden.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin berkesempatan melawat ahli keluarga mangsa petang tadi.

Beliau berkata, pihaknya telah menghulurkan bantuan kilat termasuklah sumbangan kewangan kepada keluarga mangsa.

Mohamad turut melahirkan simpati terhadap keluarga mangsa yang ditimpa musibah itu pada sambutan Hari Raya Aidilfitri, pada hari ini.



Tag: Rentung, Membakut, polis, Hospital, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, mangsa, siasatan, Hospital Beaufort, Aishah Jumat, Kampung Binsuluk



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.