Tutup

Tragedi solat Jumaat: 'Nazril Hisham mengadu sakit' - Isteri mangsa

Tragedi solat Jumaat: 'Nazril Hisham mengadu sakit' - Isteri mangsa
Nazril Hisham adalah antara tiga rakyat Malaysia yang tercedera ditembak pengganas dalam kejadian tembakan rambang di New Zealand.
KUALA LUMPUR: Isteri Nazril Hisham Omar, 49, salah seorang rakyat Malaysia yang cedera dalam kejadian serangan pengganas di New Zealand mendedahkan suaminya itu mengadu sakit dan masih lemah sepanjang menerima rawatan di hospital.

Dr Zurinawati Mohi, 48, berkata, dia menghubungi suaminya itu pada pagi tadi. Ketika ini, Nazril Hisham dijaga salah seorang anaknya.
"Pagi ini saya dapat panggilan telefon daripada jururawat yang benarkan saya bercakap dengan suami. Saya tanya dia "How are you?" Dia cakap sakit dan di akhir perbualan kami itu dia macam tidak endahkan, malah jururawat itu cuba membantu suami untuk menjawab soalan saya, namun dia hanya jawab "ya, ya, ya"," katanya semasa dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.

Dr Zurinawati ketika ini difahamkan masih dalam perjalanan untuk ke New Zealand.
"Saya baru nak bertolak ke New Zealand. Ketika ini, pihak berkenaan di New Zealand tidak bercakap yang sebenarnya, masih berlapik. Namun, tadi saya baca mesej dari Suruhanjaya Tinggi, ia melaporkan bahawa suami saya kritikal tetapi sedar. Anak saya kata, ayah tengah tidur. Ayah baru lepas pembedahan. Saya tidak pasti (keadaan sebenar) kerana saya kena dapatkan ulasan yang betul dari doktor," ujarnya lagi.

Ketika kejadian, katanya, dia berada di Hatyai dan hanya mengetahui keadaan suaminya itu selepas dimaklumkan salah seorang kenalan.

"Anak saya yang selalu buat video call untuk memberitahu perkembangan ayahnya. Namun, dia lebih banyak tidur dari bercakap. Anak saya nombor tiga beritahu dalam group Whatsapp bahawa ayah dia kena tembak. Kawan-kawan cuba ke hospital tetapi polis tidak benar masuk. Tadi kawan saya, isteri kepada salah seorang lagi mangsa, Tarmizi, dia cakap dia nampak nama Nazril tetapi langsir ditutup. Jadi dia kata dia akan pergi pagi. Jururawat kemudian hubungi saya pagi itu," tambahnya.


Nazril Hisham adalah antara tiga rakyat Malaysia yang tercedera ditembak pengganas dalam kejadian serangan pengganas di New Zealand.

Kesemua mereka kini dirawat di Hospital Christchurch.

Kejadian tembakan pada jam 1.40 tengah hari Jumaat (waktu tempatan) di Masjid Al-Noor berhampiran Hagley Park dan Masjid Linwood di Christchurch itu mengorbankan 49 nyawa manakala lebih 40 orang cedera.
 


Tag: Astro, Astro Awani, Hospital, WhatsApp, video, New Zealand, Cuba, polis, tembak, pengganas, tembakan, serangan, Malaysia



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.