Seorang pemandu lori maut terbakar dalam kemalangan dua buah lori di Kilometer 372 arah utara, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) selepas Hentian Rehat dan Rawat (RR) Behrang di Slim River pagi ini.

Bagaimanapun, maklumat mengenai mangsa belum dapat dikenalpasti setakat ini.

Menurut laporan awal Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 8.51 pagi.

Setibanya di tempat kejadian, bomba mendapati dua buah yang terlibat dalam kemalangan sedang terbakar.

Satu daripada lori itu membawa muatan barang runcit manakala sebuah lagi lori tangki yang membawa muatan diesel.

BACA: Pemandu lori minyak maut terbakar dalam nahas jalan raya

BACA: Api marak lori terbakar di lebuh raya, laluan Slim River-Sungkai ditutup

Jurucakap JBPM Perak dipetik berkata: "Maklumat mangsa, bangsa, agama tidak dapat dikenal pasti, kami akan kemas kini selepas mendapat info terkini."

Operasi pemadaman dan menyelamat melibatkan anggota bomba dari Balai Bomba Slim River, Tapah dan Bidor.

Operasi diketuai Ketua Balai Bomba Slim River, Penolong Pegawai Bomba Mohd Azrul Azuan Norman.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muallim, Supt Wan Kamarul Azran Wan Yusof dalam kenyataan ringkas berkata, lori tangki dipercayai telah melanggar belakang lori muatan barang runcit itu di lorong kecemasan lalu terbakar serta menyebabkan seorang maut.

“Semua lorong masih ditutup sepenuhnya, bagi kerja-kerja memadamkan kebakaran,” katanya.