Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor naik berang apabila dituduh tidak disiasat berhubung transaksi beberapa bidang tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini, beliau mengakui telah lebih 12 kali dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes itu.

Malah, kata Ahli Parlimen Putrajaya itu, isu tanah di Wilayah Persekutuan telah diserahkan kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) tatkala beliau mula menjawat jawatan itu pada 2013.


“Masalah tanah di Wilayah Persekutuan, sewaktu saya ambil alih sebagai menteri pada 2013, saya telah pulangkan (sebarang perkara berkaitan penjualan tanah) kepada JPM.

"Saya tidak ada kena mengena di atas kelulusan tanah Wilayah Persekutuan," katanya sambil berterima kasih kepada Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad kerana katanya telah membuat penyelidikan.

Beliau berkata demikian ketika mengajukan soalan tambahan kepada Khalid, sambil memberi penjelasan kepada Tan Kok Wai (PH-Cheras) yang sebelum itu mendakwa Tengku Adnan tidak disiasat SPRM berhubung transaksi tanah tersebut.


"Banyak orang kata saya tidak dipanggil SPRM. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, lebih daripada 12 kali saya telah dipanggil.

"Saya telah memberi keterangan apa yang telah saya tahu. Saya minta Yang Berhormat (Tan) nyatakan, berapa banyakkah tanah yang telah dibeli oleh DBKL, yang pada asalnya bukan tanah DBKL.

"Waktu saya jadi menteri, bila pemaju datang berjumpa saya minta tanah Pejabat Tanah dan Galian (PTG), saya minta supaya mereka minta atas nama DBKL, supaya DBKL dapat pulangan.

“Kalau Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) berikan tanah tersebut dengan nilaian RM20 juta, DBKL dapat 20 peratus daripada RM20 juta. Lebih daripada penilaian JPPH,” katanya.

Terdahulu, Tan meminta Menteri Wilayah Persekutuan menyatakan secara terperinci bilangan tanah-tanah di Kuala Lumpur yang telah dijual oleh DBKL yang terdapat unsur-unsur penyelewengan membabitkan jenayah pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan dijual lebih rendah di bawah harga pasaran semasa.

Beliau juga mahu tahu, dari jumlah itu, berapa keping tanah yang dibatalkan jualan dan sebab-sebab pembatalannya.