Kerajaan perlu membuat pertimbangan negara yang mempunyai jangkitan rendah COVID-19 sebelum membenarkan rakyat 'travel bubble' ke destinasi berkenaan.

Pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata selain itu keutamaan perlu diberi kepada pelancong perniagaan yang membawa lebih keuntungan kepada negara.

"Lihat negara catat jangkitan rendah, negara yang 'hijau'. Keutamaan kepada negara yang menyumbang perbelanjaan besar kepada ekonomi Malaysia," kata Mohd Yusof.

Sebelum ini, syarikat perbankan global HSBC mencadangkan Malaysia bersama tiga negara ASEAN lain -- Vietnam, Thailand dan Singapura -- melaksanakan 'travel bubble' atau gelembung pelancongan bagi membolehkan pelancong-pelancong dari negara berkenaan melancong di keempat-empat negara tersebut.

Dalam satu laporan, HSBC menyebut keempat-empat negara berkenaan berpotensi membuka pintu sempadan masing-masing, khusus untuk pelancong dari empat negara tersebut setelah melihat kejayaan Malaysia, Vietnam, Thailand dan Singapura mengawal jangkitan COVID-19 dengan baik.

Dalam pada itu, kata Mohd Yusof, ia langkah yang sudah dimulakan di Eropah dan berperingkat untuk memastikan sektor pelancongan digerakkan.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan untuk membenarkan aktiviti pelancongan domestik menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuat kuasa minggu lalu.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkannya berkata ia selaras dengan fasa penjanaan semula ekonomi negara dan tiada lagi sekatan rentas negeri dikenakan.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Nancy Shukri pula memaklumkan hanya lapan sub sektor pelancongan domestik dibenarkan.

Namun, ia mesti mematuhi semua prosedur operasi standard yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).