Trend makanan 'hipster' keterlaluan?

Trend makanan 'hipster' keterlaluan?
Trend hipster ini dilihat agak keterlaluan, lebih-lebih lagi apabila ada pengusaha kedai makan yang menggunakan barang kitar semula yang boleh membahayakan pengguna. -Gambar fail
SUDAH menjadi lumrah manusia untuk mencuba sesuatu yang baharu, apatah lagi apabila ia lain daripada yang lain.

Tidak ketinggalan premis makanan yang tampil dengan kelainan daripada segi persembahan bagi menarik perhatian pengunjung untuk menikmati sajian dengan gaya yang berbeza.

Trend persembahan makanan yang unik atau berciri ‘hipster’ ini kebiasaannya akan viral di media sosial, dalam cubaan menggamit pengunjung yang rata-ratanya golongan remaja di ibu kota.

Namun, trend ‘hipster’ ini dilihat agak keterlaluan, lebih-lebih lagi apabila ada pengusaha kedai makan yang menggunakan barang kitar semula yang boleh membahayakan pengguna.

Contohnya, sebelum ini viral sebuah kedai makan dipercayai di Pulau Pinang yang menghidangkan minuman kepada pelanggan menggunakan bekas tin susu.

BACA: Elak minum dalam tin kitar semula, nak 'hipster' pun biar berpada-pada

Bukan itu sahaja, dilaporkan sebuah premis makanan di Shah Alam pula menghidangkan nasi kukus juga di dalam tin susu kitar semula.

Kreativiti perlu ada had

Menurut Pegawai Perubatan Universiti Sains Malaysia, Dr Afiq Rahim, kunci utama bagi pengusaha kedai makanan yang ingin menggunakan kreativiti masing-masing adalah kebersihan semasa penyediaan dan memastikan ia selamat untuk digunakan.

“Kita faham pengusaha kedai makan perlukan kreativiti untuk menarik perhatian orang ramai, tetapi apa yang penting adalah mutu dari segi penyediaan dan khasiat.

“Pasti pengusaha kedai makan sedia maklum akta dan peraturan makanan yang termaktub melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sebelum ini viral sebuah kedai makan dipercayai di Pulau Pinang yang menghidangkan minuman kepada pelanggan menggunakan bekas tin susu. Foto: Facebook/KKM

“Sekiranya pengusaha kedai makan ada idea baharu sekalipun, mereka perlu pastikan cara penyediaan, penggunaan alatan masakan dan makanan serta kualitinya dijamin bersih,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.


Penggunaan bekas makanan ‘unik’ berulang

Mengulas lanjut mengenai trend penggunaan barangan yang sudah diguna untuk dipersembahkan kepada pelanggan seperti daun pisang, tempurung kelapa dan pasu bunga, beliau menjelaskan ia sepatutnya digunakan sekali sahaja.

Penggunaan barangan yang sudah diguna untuk dipersembahkan kepada pelanggan seperti daun pisang, tempurung kelapa dan pasu bunga, sepatutnya digunakan sekali sahaja. Foto: Instagram/aamira.rose

Penggunaan barangan yang sudah diguna untuk dipersembahkan kepada pelanggan seperti daun pisang, tempurung kelapa dan pasu bunga, sepatutnya digunakan sekali sahaja. Foto: Instagram/madsajasaja

“Penggunaan bekas makanan seperti ini hanya dibenarkan guna sekali sahaja dan tidak boleh berulang ini kerana ia tidak tahan lama dan ada risiko pencemaran kuman dan bahan kimia apabila digunakan berkali-kali.”


Ikut budaya tempatan

Bagi trend melampau seperti penyediaan makanan dalam mangkuk tandas yang mula viral di luar negara, Afiq berkata pengusaha kedai makan seharusnya mengambil maklum budaya tempatan sama ada ia sesuai atau sebaliknya untuk dilakukan di negara ini.


Pengusaha kedai makan seharusnya mengambil maklum budaya tempatan sama ada ia sesuai atau sebaliknya untuk dilakukan di negara ini. Foto: Instagram/janesyjuico

“Dari sudut agama pula, tidak sesuai jika makanan itu dihidangkan dalam bekas makanan yang menyerupai benda kotor.

“Rezeki yang dikurniakan Allah S.W.T perlu dihormati dan tidak dilakukan sedemikian,” ujarnya.


Makanan dalam kuantiti besar

Turut viral di media sosial adalah kedai makanan yang menyediakan hidangan dalam kuantiti yang besar.

Mengulas lanjut, Afiq turut berpendapat pengguna perlu mengehadkan kuantiti makanan yang besar ini terutamanya jika makan pada waktu malam.

“Ia bagi mengurangkan risiko penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi. Ia juga bagi mengelakkan kesihatan pengguna sentiasa baik,” katanya.

Afiq turut berpendapat pengguna perlu menghadkan kuantiti makanan yang besar ini terutamanya jika makan pada waktu malam. Foto: Media sosial

Afiq turut berpendapat pengguna perlu menghadkan kuantiti makanan yang besar ini terutamanya jika makan pada waktu malam. Foto: Media sosial

Justeru, orang ramai dinasihatkan menilai keunikan makanan yang viral ini bagi mengelakkan implikasi dalam jangka masa yang panjang.

Pengusaha kedai makan juga disarankan untuk mengikut akta dan peraturan yang telah ditetapkan bagi menjamin kebersihan dan keselamatan pengguna.


Tag: makanan, hipster, trend, Kementerian Kesihatan, tin susu, daun pisang, tempurung kelapa


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.