NATIONAL
Tsunami Selat Sunda sudah diramal sejak 2012 - Pakar

Dr Khamarrul tidak menolak risiko bencana seperti di Selat Sunda boleh berlaku di Malaysia.
Kejadian tsunami di Selat Sunda yang berlaku pada Sabtu lalu sebenarnya sudah diramal sejak 2012 oleh sekumpulan saintis Perancis dan Indonesia.
Menurut Dr Khamarrul Azahari Razak dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), kajian saintifik itu telah meramal sebarang gelonsoran yang berlaku di bahagian barat daya Gunung Anak Karakatau akan mewujudkan gelombang setinggi 43 meter.
"Jika kita amati, pakar dan saintis telah membuat penilaian awal di kawasan Selat Sunda dan sudah menjangka tsunami boleh berlaku," kata Dr Khamarrul yang ditemu bual dalam program Komen Pagi di Astro AWANI.
Gelombang ini seterusnya boleh membawa kemusnahan ke bandar Merak, Anyer dan Carita yang terletak di Jawa Barat dalam masa 45 minit.

Letusan di gunung Anak Krakatao menyebabkan berlaku gelongsoran tanah di bawah laut di Selat Sunda, mengakibatkan tsunami melanda beberapa kawasan di wilayah Banten.
"Namun saya tidak pasti sama ada kerajaan atau pihak berwajib di Indonesia mengambil maklum atau tidak mengenai hasil kajian tersebut," ujar Dr Khamarrul.GALERI FOTO: Tsunami Selat Sunda: Hanya tinggal kemusnahan
Pada Isnin, kerajaan Indonesia mengumumkan akan membina system amaran yang berupaya untuk mengesan kejadian tanah runtuh atau gelongsoran bawah laut.
Dalam isu pengurusan risiko bencana di rantau ini, Dr Khamarrul juga tidak menolak risiko bencana seperti di Selat Sunda boleh berlaku di Malaysia.
"Kemungkinan tsunami bawah tanah boleh berlaku di pesisir pantai barat Sabah tetapi itu memerlukan satu kajian saintifik di peringkat serantau termasuk dengan kolaborasi daripada saintis luar negara," katanya.
Tambahnya lagi, UTM contohnya sudah pun memulakan kerjasama dengan beberapa universitI di Indonesia untuk berkongsi kepakaran dalam bidang pengurusan risiko bencana.
Kejadian tsunami yang berlaku di Selat Sunda yang berlaku pada Sabtu malam berlaku akibat gelongsoran bawah tanah susulan letusan di Gunung Anak Krakatau sehingga ini mengorbankan lebih 400 nyawa.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami