Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mujahid Yusof menyeru semua pihak untuk menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) dan berhenti daripada menggerakkan usaha menubuhkan kerajaan baharu.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, dalam konteks masa kini, tidak sepatutnya timbul isu 'pintu belakang' yang seolah-olah mahu menggugat mandat yang diberikan oleh rakyat pada PRU lalu.

"Kerajaan hari ini adalah kerajaan yang diberi mandat melalui proses demokrasi, dan semua rakyat tidak kira mana-mana perlu menghormati keputusan," kata Mujahid kepada wartawan selepas Program Kembara Rahmah Zakat Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai dakwaan wujudnya gerakan 'pintu belakang' membentuk kerajaan baharu.

"Kami menjalankan tugas dengan harapan dasar-dasar diterima dan ianya memberi harapan besar kepda rakyat. Jadi, isu ini seolah tidak menghormati mandat yang diberi rakyat," tambah Mujahid lagi.

Baru-baru ini, terdapat laporan yang mendakwa Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sedang menggerakkan usaha untuk membentuk kerajaan baharu tanpa penglibatan dua parti komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu Amanah dan DAP.

Hishammuddin yang juga bekas Naib Presiden UMNO bagaimanapun, menafikan dakwaan tersebut.

BACA: Kerajaan tanpa DAP, Amanah? Cubalah, kata Tun Mahathir

Dalam masa sama, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution pada Sabtu mendakwa terdapat "bukti tidak langsung" mengenai cubaan 'merampas' kuasa gabungan parti pemerintah sedia ada.

BACA: "Tubuh kerajaan tanpa DAP, Amanah, itu perbuatan tidak bermaruah!" - Khalid Samad