Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan bagi menyiasat ketirisan dan kerugian Felda dan anak syarikatnya yang didakwa menanggung hutang mencecah RM6 bilion.

Menurut Pengerusi Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman, perkara itu dipersetujui sewaktu pertemuan bersama Majlis Penasihat kerajaan di ibu negara.

“Saya kemukakan 46 muka surat cadangan penambahbaikan, saya tekankan apa yang berlaku dalam Felda dan saya mohon RCI ditubuhkan sejajar dengan manifesto Pakatan Harapan,” katanya ketika ditemui media selepas pertemuan tersebut.

Beliau pada masa sama menuntut janji manifesto untuk melupuskan separuh hutang peneroka dan memohon insentif segera buat peneroka menjelang sambutan Aidilfitri.

"Ia agak serius bila hutang peneroka mencecah RM100,000 seorang dan mungkin akan meningkat jika tidak ada mekanisme untuk menanganinya," kata beliau.

Menurut Mazlan, antara cadangan beliau termasuk melihat semua peranan anak syarikat Felda yang bertanggungjawab dalam penanaman semula itu.

“Kita dapati mereka gagal menyempurnakan tanggungjawab menyelenggara kebun dan malah sehingga kini tiada jalan keluar soal hutang peneroka dan pendapatan mereka," katanya.

Turut hadir pada pertemua itu adalah bekas Pengarah Besar Felda Datuk Hanapi Suhada, Pengerusi Felda Investment Corporation Sdn Bhd Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra.