Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor mahu siasatan menyeluruh dilakukan terhadap nahas pesawat jenis Beechcraft B200T yang terhempas berhampiran Terminal Peluru, Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang, hari ini.

Beliau ketika dihubungi Bernama berkata TUDM telah menubuhkan pasukan siasatan khas bagi menyiasat punca sebenar kejadian itu.

"Saya dalam perjalanan ke lokasi kejadian, segala maklumat masih belum diperoleh" katanya mengenai nahas yang berlaku pada 5.18 petang itu.

Seorang daripada tiga anak kapal yang cedera sedang menerima rawatan kecemasan di Hospital Seberang Jaya petang ini. - Foto Bernama
Raja Mohamed Affandi turut merakamkan ucapan takziah kepada anggota keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas itu.

"Kita harap keluarga anggota yang terlibat dapat bersabar dan menerima ketentuan ini," katanya.

Dalam pada itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam catatan di akaun twitternya berkata, beliau telah mengarahkan Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Affendi Buang untuk turut memantau siasatan nahas itu.

"Saya dah arah PTU (Panglima Tentera Udara) sendiri turun pantau," katanya.

Seorang daripada tiga anak kapal yang cedera sedang menerima rawatan kecemasan di Hospital Seberang Jaya petang ini. - Foto Bernama

Menurut portal rasmi TUDM, pesawat itu digunakan oleh 16 Skuadron dalam melakukan tugas Penerbangan Pengawasan Maritim yang berpangkalan di Pangkalan Udara Subang.

Tugas utama 16 Skuadron adalah memberi amaran awal atau melapor segera pengenalan kapal-kapal di perairan dan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

Selain daripada itu, Skuadron ini juga mengawasi dan melapor kegiatan di kawasan pelantar minyak dan zon menangkap ikan, mengawasi dan meronda kawasan terumbu yang diduduki dan dituntut serta mengawasi dan melapor kemasukan pendatang tanpa izin dan juga aktiviti pencemaran laut.

Setakat ini 16 Skuadron telah banyak membantu agensi-agensi kerajaan yang lain dalam mengurangkan jenayah dan penyeludupan di perairan ZEE. -- Bernama