Tujuh sekeluarga rentung selepas rumah kayu didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Bandau, Membakut, dekat sini, awal pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Mohd Johainin Ruslan, ketika di hubungi Bernama, berkata tujuh mangsa itu terdiri daripada ibu bersama tiga anak lelaki dan tiga anak perempuan rentung dalam kejadian jam 1.16 pagi.

Bagaimanapun, suami dan seorang anak lelaki mengalami kecederaan.

"Selepas menerima panggilan kecemasan, BBP Kimanis bergegas ke lokasi kejadian sejauh 17 kilometer dan mendapati rumah kayu bertiang itu sudah terbakar sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata mangsa dipercayai terperangkap dalam rumah berkenaan sementara suami dan anak lelaki mangsa yang cedera dalam kejadian itu dihantar ke Hospital Beaufort untuk rawatan.

-- BERNAMA