Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) merekodkan sebanyak tujuh kes baharu jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) berlaku kepada pelajar di empat buah daerah di negeri ini.

Menurut Pengarah Pendidikan negeri, Dr Tajuddin Mohd Yunus, ini menjadikan jumlah keseluruhan pelajar yang dijangkiti penyakit ini seramai 155 orang.

"Sebanyak tiga kes baharu dilaporkan berlaku di Maran, dua kes di Bentong, masing-masing satu kes di Temerloh dan Rompin," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesemua pelajar yang dijangkiti penyakit berkenaan diberikan pengecualian kehadiran dan perlu dikuarantin di rumah sehingga penyakit berkenaan betul-betul sembuh.

"Kita tidak mahu jika dibenarkan pergi ke sekolah, ia akan berjangkit kepada pelajar yang lain," katanya


Beliau berkata, semua sekolah yang terbabit bagaimanapun masih dibuka seperti biasa dan semua guru besar dinasihatkan peka dengan murid yang menunjukkan gejala penyakit itu supaya tindakan awal dapat diambil.

"Sehingga kini hanya Sekolah Kebangsaan (SK) Damak di Jerantut ditutup sehingga esok selepas 53 muridnya disahkan positif HFMD. Sekolah berkenaan masih lagi dipantau oleh Jabatan Kesihatan Negeri," katanya.