Tujuh orang termasuk dua kanak-kanak maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan yang melibatkan sebuah treler dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Keramat Pulai-Cameron Highlands dekat sini, petang ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mereka menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 5.55 petang.

Menurutnya, kemalangan melibatkan sebuah Perodua Alza yang dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Ipoh dengan treler yang datang dari arah bertentangan.

"Tujuh mangsa itu maut di tempat kejadian manakala tiga lagi cedera,” katanya dalam kenyataan.


Berdasarkan maklumat awal, mangsa yang maut terdiri daripada dua kanak-kanak lelaki, tiga perempuan dewasa dan dua lelaki dewasa.

Mangsa yang cedera pula ialah dua kanak-kanak lelaki dan seorang lelaki dewasa yang parah.

Difahamkan, semua mangsa yang maut berasal dari Kedah.