Tujuh pelajar disyaki merogol, tapi masih boleh duduki SPM, dalam lokap!

Tujuh pelajar disyaki merogol, tapi masih boleh duduki SPM, dalam lokap!
Jawab soalan peperiksaan SPM dalam lokap! - Gambar hiasan
TAWAU: Kesemua tujuh calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di salah sebuah sekolah di sini yang ditahan reman hari ini bagi siasatan kes rogol seorang pelajar perempuan di sekolah itu, masih boleh menduduki peperiksaan SPM di dalam lokap.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Dr Mistirine Radin berkata Pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Sabah akan berhubung dengan balai polis di mana pelajar itu ditahan reman, pada Ahad.

"Pelajar masih boleh menduduki peperiksaan SPM semasa tahanan reman. Kami pun baru dapat maklumat tentang penahanan mereka hari ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.

Menurut Mistirine pihaknya akan bekerjasama dengan polis bagi menangani kes itu.

"Kejadian ini amat menyedihkan kerana berlaku dalam kawasan sekolah," katanya.

Beliau dalam pada itu mengingatkan agar pengawal keselamatan sekolah melaksanakan rondaan dalam kawasan sekolah sepertimana ditetapkan dalam kontrak perkhidmatan bertujuan mengelak kejadian tidak diingini atau seumpamanya berlaku.

Selain itu, katanya pihak pengurusan sekolah juga boleh meningkatkan pencegahan dengan mengunci bilik-bilik yang berisiko untuk disalah guna pelajar.

BACA: Tujuh senior tingkatan lima disyaki rogol bergilir-gilir pelajar tingkatan dua

Beberapa media melaporkan tujuh pelajar lelaki berusia 17 tahun di sebuah sekolah di Tawau ditahan reman selama tiga hari mulai hari ini (Sabtu) atas tuduhan merogol seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun dari sekolah yang sama.

Kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah bilik di sekolah berkenaan.

-- BERNAMA


Tag: lokap, pelajar sekolah, tingkatan lima, calon SPM, peperiksaan, polis, pdrm



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.