Tutup

Tujuh pesalah jenayah hidupan liar dicekup tahun ini

Tujuh pesalah jenayah hidupan liar dicekup tahun ini
Jenayah berkaitan hidupan liar bukan sekadar masalah tempatan tetapi menjadi sebahagian daripada sindiket perdagangan hidupan liar antarabangsa. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Seramai tujuh orang ditahan dalam operasi bersepadu Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Hidupan Liar Sabah kerana melakukan jenayah terhadap hidupan liar sepanjang 15 hari pertama tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew berkata penahanan itu sangat menggalakkan namun masih timbul persoalan dengan siapa mereka berurus niaga, adakah mereka sebahagian daripada rangkaian terancang dan siapa yang menyokong mereka untuk melakukan jenayah terbabit?
Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata jenayah berkaitan hidupan liar bukan sekadar masalah tempatan tetapi menjadi sebahagian daripada sindiket perdagangan hidupan liar antarabangsa yang dikaitkan dengan penyeludupan dadah dan pemerdagangan manusia serta pengubahan wang haram.

"Kita mesti meneruskan sinergi, jalin kerjasama dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), sektor swasta dan agensi kerajaan, selain kerjasama rentas sempadan yang akan membuahkan kejayaan untuk menamatkan jenayah tidak masuk akal ini. Saya pasti di Sabah ini ada orang yang mempunyai keupayaan tinggi, berdedikasi dan berminat, sanggup bekerja keras dalam meningkatkan keupayaan risikan dan forensik dalam mengekang jenayah berkaitan hidupan liar," katanya.
Teks ucapan Liew dibacakan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Dr Jamili Nais pada majlis pembukaan 'Bengkel Perdagangan Haram Hidupan Liar dan Langkah Pencegahan di Sabah', di sini, pada Rabu.

Liew berkata pendirian kerajaan Sabah terhadap jenayah yang dibenci ini adalah jelas iaitu setiap orang perlu mengambil apa sahaja langkah perlu untuk melindungi hidupan liar.

Sementara itu, Timbalan Ketua Misi Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia, Dean Thompson berkata sebagai sebahagian daripada usaha ini (melindungi hidupan liar), Biro Narkotik dan Penguatkuasaan Undang-undang Antarabangsa, Jabatan Negara Amerika Syarikat menyumbang dana untuk program mendepani dan memerangi penyeludupan hidupan liar.

Katanya, bengkel itu menandakan bermulanya program dua tahun dengan kerjasama Danau Girang Field Center dan Jabatan Hidupan Liar Sabah membabitkan dana RM4 juta.

"Ia akan meningkatkan keupayaan penguatkuasaan dan kepakaran siasatan forensik hidupan liar Sabah serta menggalakkan penyelarasan antara agensi penguatkausaan undang-undang dan komuniti NGO," tambahnya.

-- BERNAMA


Tag: pesalah jenayah hidupan liar, hidupan liar, pasukan gerakan am, PGA, jabatan perhutanan sabah, jabatan hidupan liar sabah, christina liew, alam sekitar, pemerdagangan hidupan liar



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.