Tujuh lelaki, termasuk seorang warga Bangladesh, ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmad berkata mangsa berusia 55 tahun itu yang dipercayai menjadi mangsa culik ditemukan kira-kira 9 pagi tadi dalam kawasan belukar di Batu 27, Jalan Rawang-Bestari Jaya, Rawang.

Kesemua suspek yang berusia di antara 30 dan 40 tahun ditahan sekitar Selangor sejak 11 pagi Jumaat.

Datuk Seri diculik ditemui mati

Antara yang ditahan, dalang kumpulan berusia 50-an yang sedang menunggu arahan reman bagi membantu siasatan.

Suspek didapati meminta wang tebusan daripada ahli keluarga mangsa kira-kira S$50 juta (kira-kira RM154 juta).

Namun, keluarga mangsa masih belum buat bayaran kepada pihak penculik.

Mangsa dipercayai meninggal dunia sejak tiga atau empat hari lepas.

Siasatan mendapati mangsa dikurung di sebuah rumah di Kampung Kosaso, Rawang.

Mangsa sebelum ini dilaporkan diculik ketika berjoging di taman permainan, Jalan Persiaran Perdana, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya pada jam sekitar 10 pagi, 10 Jun lalu.

Polis menerima laporan pada hari sama diculik.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961.

Mayat dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.